PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) masih lagi menunggu keputusan rasmi berhubung permohonan lesen dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi melayakkan mereka beraksi di pentas Piala AFC 2018.

Naib Presidennya, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, biarpun sudah ada keputusan dari sumber terdekat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyatakan pasukannya tidak layak beraksi di pentas antarabangsa musim hadapan dan akan digantikan dengan Naib Juara Liga Super Pahang, KFA masih mahu menunggu keputusan rasmi dari pihak berwajib terlebih dahulu.

Menurutnya, jika sah persatuan itu gagal memperolehi lesen AFC, pihaknya akan membuat rayuan.

"Kedah masih menunggu keputusan rasmi berhubung lesen Piala AFC dan Jika gagal kami akan membuat rayuan kerana mengetahui hasrat penyokong cukup tinggi untuk melihat pasukan ini beraksi di pentas tersebut," katanya.