STATUS Lesen dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi membolehkan mereka beraksi pada Piala AFC 2018 masih menjadi tanda sehingga hari ini.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, pihaknya masih lagi menunggu pengesahan dari pihak berkenaan status tersebut dan berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memberi sokongan kepada persatuan berkenaan.

Menurutnya, sekiranya benar pihaknya gagal mendapatkan lesen maka juara Piala FA 2017 itu akan membuat rayuan dan membaiki punca kegagalan tersebut.

"Kami keliru kerana lesen untuk beraksi di Liga Super 2018 dapat tapi lesen untuk beraksi di Piala AFC belum lagi. Namun kami belum dapat lagi kenyataan rasmi tentang tidak dapat lesen itu dan jika benar kami tidak dapat kami akan buat rayuan.

Sepatutnya FAM bagi sokongan kepada Kedah sebab kami sudah buktikan antara pasukan terbaik di kalangan terbaik di negara ini dan kami patut diberi peluang beraksi di luar Malaysia," katanya pada sidang media, tengahari tadi.

Menurutnya, semua maklumat tersebut turut diperolehi dari sumber yang berdekatan.