LEBIH banyak ujian dadah akan dijalankan pada Sukan SEA  Kuala Lumpur termasuk pemeriksaan darah yang diperkenalkan pada Sukan Singapura untuk membersihkan temasya itu daripada penipu.

 Lebih  4,000 atlet daripada 11 negara bakal berdepan  teknologi anti-doping canggih mengikut standard ujian dadah Olimpik, menurut Datuk Dr S. S. Cheema, yang mengetuai Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Kuala Lumpur 2017.

“Tidak mungkin dapat melepaskan diri kerana kami akan melakukan ujian air kencing dan juga sampel darah. Sebaik sahaja atlet mendaftar masuk ke bilik hotel mereka, kami akan mula melakukan ujian secara rawak atau ujian selepas pertandingan pada bila-bila masa. Pemenang pingat akan diuji 100 peratus,” katanya kepada Bernama menjelang pembukaan rasmi temasya dwitahunan itu pada 19 Ogos.

Jumlah ujian akan lebih banyak pada kali ini kerana Malaysia menganjurkan 38 jenis sukan membabitkan 404 acara berbanding 36 jenis sukan dan 402 acara di Singapura, kata Dr Cheema.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan berapa banyak sampel akan diuji berbanding lebih 600 oleh negara pulau itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSEKUTUAN Sukan SEA (SEAGF) hari ini mengumumkankan tiga atlet termasuk pemenang pingat emas acara terjun, Wendy Ng Yan Yee, gagal ujian doping di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).
  • KOREA Selatan bersiap sedia untuk menyediakan program anti-doping yang "kukuh dan berkesan" pada Sukan Musim Sejuk PyeongChang 2018, lapor agensi berita Yonhap.
  • TEKA-TEKI mengenai atlet terjun yang gagal ujian doping ketika Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) terjawab apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mendedahkan atlet tersebut adalah Wendy Ng Yan Yee.
  • ATLET Olimpik negara, Mohd Hafifi Mansor, telah digantung sementara oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana gagal ujian doping.