BACHOK - Lebih 15,000 orang memeriahkan Larian Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang kini dalam siri jelajah negara, di Pantai Irama di sini, hari ini.

Mereka kebanyakannya golongan muda dan pelajar sekolah mula membanjiri pantai itu seawal 7 pagi bagi memeriahkan sambutan larian berkenaan yang diadakan bersama program Fit Malaysia Peringkat Negeri Kelantan.

Turut memeriahkan sambutan ialah persembahan dikir barat dan acara senamrobik, namun rancangan untuk menaikkan wau bulan sebagai simbolik kepada larian tersebut tidak dapat dilakukan kerana angin tidak kencang.

Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata sambutan larian di sini di luar dugaan mungkin didorong semangat Malaysia menjadi tuan rumah kepada sukan itu kali ini.

“Selain itu, lokasi program yang terletak berhampiran kawasan pantai menjadi daya tarikan kepada golongan muda untuk bersantai pada hujung minggu dan ini menunjukkan pantai itu berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat bagi aktiviti bertaraf kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas program itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamed berkata pihaknya berbangga dengan sambutan orang ramai terhadap program berkenaan yang cukup meriah.

Beliau berharap rakyat Kelantan terus mengamalkan aktiviti riadah seperti itu setiap masa tanpa menunggu ada program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan bagi mengekalkan kecergasan.

Nik Abdul Kadir juga berharap rakyat Kelantan akan terus memberi sokongan kepada atlet negara yang mengambil bahagian pada Sukan SEA.

Bachok merupakan kawasan Parlimen keenam disinggahi obor berkenaan selepas Kota Bharu, Ketereh, Machang, Tanah Merah dan Jeli sejak Rabu lepas.

Esok, larian obor berkenaan akan diteruskan ke Parlimen Pasir Puteh sebelum diserahkan kepada Terengganu. – Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.