PENGENDALI sementara Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff menyifatkan skuad Lang Merah kendaliannya tidak tertekan berdepan Pahang malam ini.

Menurutnya, kejayaan berada di pentas akhir  Piala  Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016 menjadi kelebihan kepada Lang Merah.

“Saya lihat pemain tidak terlalu tertekan apatah lagi ini final ketiga dalam tempoh tiga tahun. Pemain juga sudah sebati dengan suasana final.

“Mereka turut selesa bermain di Stadium Shah Alam selain  mentaliti  menganggap setiap perlawanan umpama final. Jadi, untuk perlawanan esok (malam ini), saya sifatkan mereka sudah biasa,” katanya.

Katanya lagi, beliau mengharapkan Hijau kuning dapat mendakap Piala FA tersebut sekali gus ia hadiah penuh bermakna buat dirinya selaku pengendali sementara pasukan.

“Kejayaan ke final ini sudah tentu  tidak  dijangka  dan saya cukup bangga dengan pencapaian pasukan ini. Alang-alang dah ke final ini sudah tentu saya mahu Kedah juara,” katanya.

Sementara itu, Kapten Kedah, Khairul  Helmi  Johari mempunyai misi penting menjuarai Piala FA tahun ini selepas hanya berada di bangku simpanan pada perlawanan akhir kejohanan itu pada 2008.

“Pada saingan  edisi  2008 saya tidak bermain dan pada 2010 kami tewas kepada Negeri Sembilan menerusi penentuan penalti.

“Jadi, saya ada misi untuk memenangi Piala FA bukan sahaja untuk mencapai apa yang saya inginkan tetapi juga untuk pasukan,” katanya.

Namun, beliau melihat peluang kedua-dua seimbang dan pasukan yang menampilkan persembahan terbaik akan menjadi juara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BOLOS tiga gol mudah ketika tewas 3-2 kepada Perak pada saingan Liga Super 2017 Sabtu lalu perlu menjadi pengajaran berguna kepada barisan pertahanan Kedah.
  • PASUKAN Kedah diraikan pada Majlis Santapan Malam meraikan kejayaan muncul Juara Piala FA 2017 pada Sabtu lalu di Istana Anak Bukit, Alor Setar, malam tadi.
  • PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada pasukan Kedah yang menjuarai Piala FA 2017 selepas menewaskan Pahang pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.
  • PIALA FA sah menjadi milik Kedah setelah menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi.
  • MUHD Nidzam Adzha Yusoff tidak menyangka dapat meraih kejuaraan Piala FA sebagai jurulatih bersama skuad Lang Merah setelah mengecapi kejayaan sama selaku pemain Perak pada 1990 dan Kedah pada 1996.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.