KEDAH berjaya meleburkan rekod tanpa kalah PKNS FC apabila menundukkan skuad kendalian Datuk K Rajagobal 4-3 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Perlawanan berlangsung dramatik apabila PKNS FC terlebih dahulu mendahului pada minit ke-30 menerusi jaringan Mohd Faris Ramli.

Bagaimanapun, Kedah berjaya menyamakan kedudukan empat minit selepas itu apabila Liridon Krasniqi berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Bersambung di separuh masa kedua, PKNS kembali mendahului melalui jaringan Mahali Jasuli, namun Liridon sekali lagi mematikan kelebihan itu untuk mengikat kedudukan 2-2.

Kedah berjaya mendahului pada minit ke-68 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan PKNS sebelum Ariff Farhan Md Isa menoktahkan kemenangan dengan gol keempat Kedah meskipun Mahali Jasuli berjaya merapatkan kedudukan 4-3 di masa kecederaan.

Dalam perlawanan itu, sejurus wisel permulaan dibunyikan Kedah terlebih dahulu menggasak kubu tuan rumah.

Hasilnya pada minit ke-2, skuad Lang Merah memperoleh peluang melalui penyerang importnya, Pablo Pallares. Malangnya, sentuhan pertamanya sedikit tersasar.

Namun PKNS FC tidak membiarkan pelawat mendominasi perlawanan. Sejurus mendapat rentak, skuad Semut Merah turut memperoleh peluang menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-9. Namun, tindakan pantas Ifwat membaca pergerakan Faris Ramli berjaya mematahkan percubaan tersebut.

Minit ke-18, Kedah sekali lagi memperoleh peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan, mujurlah tindakan pantas penjaga gol PKNS FC berjaya menepis percubaan deras Liridon Krasniqi.

Selang 10 minit selepas itu, giliran Baddrol Bakhtiar pula untuk menjaringkan gol pertama Kedah. Namun sepakan percuma yang diambilnya sedikit sahaja melewati palang.

Tersentak dengan beberapa asakan bertubi-tubi, PKNS FC kembali merencana serangan. Tanpa disangka-sangka gol pertama mereka hadir pada minit ke-30 melalui jaringan pemain import Asia Tenggara mereka, Mohd Faris Ramli.

Kedah yang ketinggalan satu gol, tidak menunggu lama untuk mencari gol penyamaan.

Berpunca daripada Akhyar Rashid yang dijatuhkan di dalam kotak penalti, pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti untuk pelawat.

Liridon Krasniqi tidak mensia-siakan peluang keemasan itu untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-34.

Selepas itu, perlawanan kembali rancak di antara kedua-dua pasukan. Tuan rumah, PKNS FC memperoleh peluang terbaik untuk mendahului, namun ketangkasan Ifwat menepis percubaan Ramazotti menggagalkan usaha tersebut.

Bagaikan tidak berputus asa, PKNS terus merencana serangan bertali-arus. Namun tiada penyudah yang dapat dihasilkan untuk membuatkan mereka mendahului di separuh masa pertama.

Di masa kecederaan babak pertama, Baddrol sekali lagi memperoleh peluang untuk meletakkan Kedah di depan. Namun percubaan derasnya dari luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Mohd Shahril Saari sekali gus memastikan keputusan separuh masa pertama kekal 1-1.

Bersambung di babak kedua, skuad kendalian Datuk K Rajagobal tidak menunggu lama untuk kembali mendahului. Gol kedua itu telah dijaringkan oleh Mahali Jasuli.

Kedah yang tersentak kembali merencana serangan. Akhyar Rashid berjaya merembat deras dari luar kotak penalti, namun percubaannya sedikit tersasar.

Minit ke-53, Ramon Marcote bertindak mengeluarkan Akhyar dan memasukkan Sandro da Silva untuk memperkuatkan jentera serangan Lang Merah.

Kemasukan Sandro jelas membuahkan hasil apabila Kedah berjaya mengikat kembali kedudukan 2-2 menerusi jaringan kedua Liridon.

Kedah terus berusaha mencari gol pendahuluan. Namun situasi kelam kabut di hadapan gawang tuan rumah tidak dapat diterjemahkan menjadi gol.

Nasib Kedah terus berubah pada minit ke-67 apabila rembatan kencang Baddrol menyebabkan pertahanan PKNS FC tertampan bola ke gawang sendiri.

PKNS FC berpeluang mengikat kembali kedudukan pada minit ke-70 apabila dihadiahkan sepakan penalti. Malangnya, sepakan yang diambil Ramazotti mudah dibaca Ifwat Akmal Che Kassim untuk mengekalkan kedudukan Kedah mendahului 3-2.

Di masa kecederaan, M. Ariff Farhan berjaya mengukuhkan kedudukan untuk Kedah mendahului 4-2.

Walaupun seminit selepas itu, Mahali Jasuli berjaya merapatkan kedudukan 3-4, namun ianya sudah terlambat untuk PKNS membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata apabila pengadil meniupkan wisel penamat.

Keputusan akhir, PKNS FC 3 - 4 Kedah.