ALOR SETAR - Lang Merah mampu melepasi halangan Kumpulan C Piala Malaysia 2018 selepas bangkit mempamerkan persembahan menyakinkan sejak tiga perlawanan lalu.

Pemain importnya, Sandro Da Silva berkata, beliau percaya dengan kemampuan semua rakannya berdasarkan kesungguhan apabila terbaru menjinakkan JDT 3-1 di Stadium Darul Aman pada 31 Ogos.

Bagaimanapun masih banyak halangan yang perlu ditempuhi pasukan tersebut bagi mengulangi pencapaian mara ke final piala Malaysia tiga tahun berturut-turut  selepas mempamerkan keputusan hambar pada dua perlawanan awal akibat masalah kecederaan dan panggilan skuad kebangsaan.

"Saya positif dengan saingan piala Malaysia ini kerana kami telah mara ke final tiga kali berturut-turut pada 2015,2016 dan 2017. Saya berharap sekali lagi kami mampu melakukannya pada tahun ini.

"Namun perjalanan masih jauh dan banyak halangan yang perlu ditempuhi untuk melepasi setiap perlawanan. Saya percaya dengan kemampuan pasukan saya," katanya kepada media selepas pelancaran produk haruman 'SM by Sandro & Michele' di  Ballroom, TH Convention Hotel, Alor Setar, semalam.

Sandro berkata, Kedah memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan dan wajar untuk pasukan tersebut mara ke peringkat seterusnya dengan syarat mendapatkan mata bertemu Kelantan pada aksi akhir kumpulan pada 16 September ini.

Jelasnya, beliau akui The Red Warrior telah mempamerkan aksi memberangsangkan apabila bertemu pasukannya sebelum ini dan percaya Kedah akan berdepan tugas sukar di Kota Bharu.

Sementara itu dalam ucapan perasmian pelancaran harumannya, Sandro sebak menyampaikan isi hatinya yang cukup nostalgia kerana telah berada di sini selama empat tahun.

Beliau sempat memberikan penghargaan kepada semua pihaknya kerana memberi peluang untuk beraksi bersama Lang Merah sehingga mencapai 100 caps dengan rekod 50 gol setakat ini.

Pelancaran produk itu juga adalah buah tangan dan juga sebagai tanda kenangannya kepada penyokong Kedah yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada beliau sehingga hari ini.