KETUA  jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen mengakui pemain veteran berusia 38 tahun, S. Kumar, masih kekal sebagai penjaga gol utama skuad negara.

Beliau berkata walaupun baru kembali menjalani latihan selepas tempoh penggantungan selama enam bulan, Kumar masih mempamerkan prestasi yang baik ketika sesi latihan untuk menyarung jersi nombor satu negara ke siri Jelajah Argentina bermula 25 Mei hingga 2 Jun.

“Kumar telah menunjukkan bahawa beliau masih salah seorang penjaga gol yang terbaik, kepulangannya telah meningkatkan keyakinan dan saingan dalam pasukan.

"Perlawanan persahabatan di Argentina adalah penting untuk Kumar selepas gagal beraksi pada dua kejohanan utama tahun ini iaitu Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada Mac lalu dan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, bulan lepas.

"Saya rasa beliau melakukan latihan yang secukup semasa tempoh penggantungan dan ini terbukti semasa sesi latihan bersama skuad,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan senarai 20 pemain ke siri jelajah itu di Stadium Hoki Nasional di sini, hari ini.

Kumar dikenakan hukuman penggantungan sementara enam bulan selepas didapati positif sibutramine pada ujian doping ketika Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober tahun lepas.

Selain Kumar, pemain pertahanan, Faiz Helmi Jali yang tidak ke Sukan Komanwel kerana pelajaran serta dua pemain yang pulih dari kecederaan, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi turut kembali memperkuatkan skuad ‘Speedy Tigers’ itu.

Sementara itu, Stephen melakukan empat pertukaran berbanding skuad 18 pemain ke Sukan Komanwel apabila menggugurkan penjaga gol Hafizuddin Othman, Muhammad Firhan Ashaari, Muhamad Ramadan Rosli dan Fitri Saari.

“Firhan meminta kebenaran untuk bersama isterinya yang bakal menlahirkan anak manakala Ramadan dan Fitri masing-masing mengalami kecederaan otot dan hamstring.

“Muhammad Haziq Samsul diberi peluang kerana beliau merupakan satu-satu pemain daripada Program Podium tidak beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan Komanwel,” katanya.

Siri jelajah ke Argentina adalah sebahagian daripada persiapan skuad negara menghadapi temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini.

Argentina merupakan juara Olimpik Rio 2016 dan pasukan ranking kedua dunia.

Malaysia, selaku pasukan ranking ke-12 dunia, dijadual mengadakan enam perlawanan persahabatan dengan Argentina di Mar del Plata pada 25, 27, 28 dan 30 Mei, dan di Club Ciudad de Buenos Aires pada 1 dan 2 Jun.

Selepas pulang dari Argentina, skuad negara itu akan memulakan siri Jelajah Australia selepas Hari Raya Aidifitri, sebelum ke Sukan Asia yang dijadualkan bermula 18 Ogos hingga 2 September ini. - Bernama