KELAB Kelab Bola Sepak Felda United (FUFC) memandang serius tentang keputusan Perkongsian Liabilti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang tidak membenarkan pasukan itu untuk beraksi dalam saingan Liga Super Musim 2018 akibat ketiadaan lesen kelab.

Timbalan Presiden FUFC, Datuk Mohd Isa Abu Kasim menegaskan bahawa, pihak pengurusan kecewa tetapi akur dengan keputusan tersebut dan tekad untuk memberikan saingan yang terbaik dalam Liga Perdana musim 2018 bagi memastikan Felda United kembali ke saingan Liga Super musim 2019.

Sehubungan itu, Felda United ingin menjelaskan tentang desas-desus yang menjadi perbualan dan tanda tanya semua pihak khususnya peminat dan penyokong bola sepak Malaysia berkaitan Perlesenan Kelab Felda United selepas keputusan FMLLP dikeluarkan semalam.

"Berikut adalah kronologi berkaitan penghantaran dokumen Felda United kepada FAM:

i.  Pada 26 September 2017, FAM telah memberi tanda aras bagi penyerahan dokumen kepada Felda United sebanyak 99 peratus. Baki 1 peratus adalah berkaitan hal Laporan Kewangan 2016 yang beraudit dan Laporan Kewangan Interim (Management Account) Jan-Jun 2017 yang tidak diserahkan.

ii.  Mesyuarat ‘Appeals Body’ AB diadakan pada 28 September 2017 telah memutuskan tarikh akhir penghantaran semua dokumen pada 16 Oktober 2017 jam 12 tengah hari.

iii.  Felda United telah menghantar Laporan Kewangan Beraudit 2016 dan Laporan Kewangan Interim (Management Account) Jan-Jun 2017 sebelum tarikh tutup yang ditetapkan pada 16 Oktober 2017.

iv. Semua dokumen yang diperlukan telah dihantar kepada pihak FAM dalam masa yang ditetapkan. Dua jam selepas tamat tempoh, Felda United menerima panggilan telefon daripada Pegawai FAM yang menyatakan bahawa Laporan Kewangan Interim Jan-Jun 2017 perlu disahkan daripada juruaudit dan memohon supaya Felda United menghantar semula. Namun Laporan Kewangan Interim (Management Account) telah disediakan mengikut amalan audit kewangan oleh juruaudit bertauliah.

v.  Felda United menghantar semula Laporan Kewangan Interim (Management Account) yang telah disahkan oleh juruaudit selepas menerima arahan untuk dihantar semula," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kegagalan untuk mendapat lesen kelab ini tidak bererti pengurusan Felda United mempunyai sikap sambil lewa dan tidak menghormati mana-mana pihak yang terlibat.

Katanya, Felda United juga tidak pernah gagal mengaudit akaun serta sentiasa menjaga kebajikan pemain dan tidak pernah menghadapi dengan masalah gaji, KWSP, PERKESO dan LHDN.

"Felda United menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Felda United tidak melakukan pengauditan bagi kewangan kelab malah Felda United sebenarnya sangat komited dan menyokong penuh perlaksanaan Perlesenan Kelab Liga Malaysia dalam usaha ke arah pengurusan bola sepak yang profesional," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KESERASIAN pemain menjadi resipi kejayaan skuad Felda United memulakan saingan awal Liga Premier dengan cemerlang termasuk menewaskan Pulau Pinang 3-0 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini, semalam.
  • KEYAKINAN tinggi dan tidak pernah mengenal erti kekalahan antara elemen yang memastikan kejayaan Felcra FC ketika menumpaskan Sarawak 3-2 pada aksi di Stadium Negeri Kuching, kelmarin.
  • FELDA United akan menyelesaikan isu pelesenan kelab supaya The Fighters dapat bermain dalam saingan Liga Super musim depan.
  • BIARPUN turun selaku pasukan pilihan, ketua pasukan Felda United Muhd Shukor Adan menegaskan pasukan itu tidak akan mengambil mudah saingan pasukan lain dalam Liga Perdana musim ini.