KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) akan membuat persediaan awal untuk skuad ragbi 15 sebelah negara bagi menghadapi Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pengurus skuad 15 sebelah negara, Datuk Zainal Rafique bersama Jawatankuasa Prestasi Tinggi KRM akan mengadakan  perbincangan dengan ketua jurulatih negara yang baharu, Brad Mika pada 13 Julai ini mengenai program skuad berkenaan.

“Mereka akan duduk berbincang mengenai program yang akan dilaksanakan sebagai persediaan  Kejohanan Ragbi Asia 2019.

“Zainal menyatakan persetujuan dan Persatuan Ragbi Sabah juga bekerjasama untuk memastikan Brad dapat menjalankan tugasnya untuk negara,” kata Shahrul Zaman ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KRM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di sini, hari ini.

Selain Malaysia, Divisyen Premier ARC 2019 turut disertai pasukan Hong Kong dan Korea Selatan dengan mengguna format perlawanan timbal balik untuk ketiga-tiga pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan walaupun Liga Ragbi Malaysia ditangguhkan ke awal tahun hadapan, KRM akan menganjurkan Kejohanan Ragbi Piala Agong seperti  biasa pada September ini sebagai medan pemilihan awal untuk Brad memilih pemain terbaik mewakili pasukan negara ke ARC 2019.

Shahrul Zaman menegaskan penangguhan Liga Ragbi Malaysia diputuskan supaya KRM dapat  meningkatkan kualiti pasukan bertanding ke tahap ‘Semi-Pro’.

“Alhamdulillah, beberapa pihak daripada Liga Profesional Ragbi Jepun bersetuju untuk bertemu dengan kita pada 2 dan 3 Ogos nanti untuk membincangkan kebarangkalian satu kerjasama di antara Liga Utama Jepun dengan KRM dalam pelbagai cara.

“Ini kerana kita melihat pasukan-pasukan dalam liga utama di negara berkenaan ditaja atau dimiliki oleh syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia dan kita ingin melihat adakah kita boleh melakukan perkara yang sama dalam liga kita,” jelas Shahrul Zaman. - Bernama