KEAKRABAN serta komitmen Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dengan dunia bola sepak pasti tidak akan dilupakan.

Bekas kapten hijau kuning Muhamad Radhi Mat Din adalah antara yang memiliki kenangan peribadi bersama sepanjang kariernya dalam dunia bola sepak menceritakan detik-detik bersama Almarhum.

Memetik berita Astro Awani, Radhi yang tidak dapat menyembunyikan rasa hiba di atas kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim berkata, beliau masih ingat pada satu ketika pasukannya (Kedah) tewas dalam perlawanan final Piala Malaysia dengan Kuala Lumpur.

"Sewaktu saya naik ke pentas saya nampak riak wajah Almarhum agak sedih.

"Namun ketika di depannya Almarhum senyum dan sempat menepuk bahu saya. Saya faham kekecewaannya namun dia (Almarhum) tetap bagi kami semangat. Walaupun tewas, Almarhum tetap meraikan kami satu pasukan.

"Almarhum tidak pernah salahkan kami. Itu yang buatkan kami selalu tekad untuk beri kejayaan kepada Kedah untuk balas kembali kekecewaannya," katanya dalam satu temu ramah.

Radhi dalam pada itu juga berkongsi cerita bagaimana Almarhum Sultan Abdul Halim jarang menghampakan jemputan para pemain bola sepak hijau kuning.

Menurutnya, masih lagi ingat ketika beliau berkahwin dulu dan pernah menjemputnya untuk hadir ke perkahwinannya.

"Tak sangka Almarhum berkenan dan hadir ke majlis kami. Begitulah juga dengan pemain-pemain lain yang pernah menjemputnya (Almarhum) ke perkahwinan mereka dan Baginda hadir," katanya.

Sementara itu bekas Kapten Malaysia Datuk Soh Chin Aun turut melahirkan nada yang sama ketika mengetuai bola sepak negara terutamanya di era Pesta Bola Merdeka.

"Ketika itu Almarhum adalah Yang Dipertuan Agong. Saya masih ingat setiap kalungan pingat dan piala yang Almarhum sampaikan.

"Begitu juga masa saya dengan pasukan Selangor. Bila lawan Kedah biasanya Almarhum ada menyaksikan pasukan hijau kuning bertanding," tambahnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.