Datuk Seri Shahidan Kassim
$entry.content.caption.value

SHAH ALAM - Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan bagi menyelesaikan kontroversi doping membabitkan pegawai dan atletnya.

Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas hakim mahkamah tinggi yang telah dikenal pasti KOM.

"Hari ini selepas berbincang dengan Timbalan Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia Datuk Sieh Kok Chi, wakil
Institut Sukan Negara (ISN) dan dua peguam, kita memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menyelesaikan sepenuhnya isu ini," katanya di sini hari ini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas perbincangan hampir dua jam itu, berkata jawatankuasa berkenaan juga akan menentukan nasib Karim yang dikaitkan
dengan kontroversi doping tersebut.

Kontroversi tersebut tercetus apabila enam atlet olahraga negara bertindak melarikan diri daripada menjalani ujian doping yang dilakukan ISN pada Mei
lepas.

Susulan kes itu, ketua jurulatih olahraga negara Harun Rasheed dipecat kerana dikatakan terbabit dalam kes tersebut.

Semalam, sekumpulan 58 jurulatih dan atlet kebangsaan menyerahkan petisyen bertajuk Laporan dan Aduan Jurulatih Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Presiden
KOM yang antara lain mengaitkan Karim dalam dua isu doping.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata semua pihak yang terbabit dalam kontroversi berkenaan termasuk doktor akan dipanggil membantu siasatan.

Mengulas satu lagi kes doping membabitkan atlet negara di Sukan SEA Indonesia tahun lepas, Shahidan berkata beliau telah menerima keputusan sampel B
atlet berkenaan daripada Sieh hari ini.

"Apa yang berlaku telah pun berlaku, kita korek macam mana pun ia telah berlaku... yang salah tetap akan dihukum tidak kira sesiapa pun," katanya. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.