KEMELUT pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi penggal 2018-2022 semakin parah, apabila salah satu pihak yang bertelagah mengancam untuk membawa isu berkenaan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan mendakwa tindakan pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS)  mengarahkan untuk menangguhkan Kongres ke-31 KLFA yang dijadual semalam, hanya dua hari sebelum ia berlangsung, seolah-olah 'tidak berintegriti'.

Pada sidang media di Stadium Bola Sepak KLFA di sini hari ini, beliau mempersoal tindakan itu kerana pencalonan ditutup pada 5 November, sedangkan PJS

 menghantar surat bertarikh 15 November kepada KLFA pada Jumaat lepas (16 November) supaya menangguhkan kongres tersebut.

“Selain itu, tindakan PJS membocorkan surat itu kepada pihak ketiga sebelum dihantar ke Setiausaha Agung KLFA (Nokman Mustaffa) serta tidak mengikut saluran betul seolah-olah seperti tidak berintegriti. PJS seharusnya panggil dan bincang dengan pihak kita sebelum mengambil keputusan menangguhkan kongres.

“Tetapi mereka hanya berbincang dengan ahli gabungan yang mendakwa wujud masalah, dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Kita juga terpaksa menanggung kerugian sehingga RM30,000 kerana kita dah buat bayaran untuk hotel, urusetia dan sebagainya untuk mengadakan kongres tanpa sebarang kekecohan.

“Itu boleh dibawa kepada SPRM. Saya rasa kita akan buat kalau perlu. Kami juga mahu mengadakan perjumpaan dengan PJS secepat mungkin, tetapi belum menerima panggilan sehingga kini,” katanya.

Jumaat lalu, Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mengarahkan kongres itu ditangguhkan bagi memberi ruang kepada proses siasatan dan pendengaran dilakukan selepas beberapa ahli gabungan menghantar surat bantahan kepada PJS kerana tidak berpuas hati dengan pelaksanaan pemilihan tersebut.

Kemelut itu bermula apabila Nokman mengumumkan penyandang jawatan presiden, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan mempertahankan jawatan itu apabila pencabarnya, Datuk Rashid Hasnon yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mendapat kurang daripada 40 peratus pencalonan untuk bertanding bagi jawatan presiden berdasarkan statut KLFA.

Menurut Kamarudin, Rashid hanya menerima 12 pencalonan berbanding Adnan yang menerima 18 pencalonan daripada 31 ahli gabungan yang layak, manakala satu ahli gabungan tidak menghantar borang pencalonan.

“Jadi beliau (Rashid) hanya menerima 38.71 peratus pencalonan daripada 31 ahli gabungan, sekali gus hilang kelayakan bertanding mengikut statut. Setiausaha Agung kita juga telah mengadakan perbincangan dengan dua pegawai daripada pejabat PJS dan hanya mengumumkan keputusan bahawa Adnan kekal sebagai presiden selepas mereka bersetuju,” katanya.

Adnan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, dilantik sebagai presiden persatuan berkenaan empat tahun lalu, sebelum membantu pasukan itu naik daripada divisyen ketiga ke divisyen tertinggi Liga Malaysia - Liga Super tahun ini.

Kamarudin berharap kemelut itu dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia boleh menjejaskan persiapan pasukan di bawah KLFA dalam saingan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia musim depan. - Bernama