TEKONG utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi mempunyai misi tersendiri dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur apabila mahu menjadikan temasya itu sebagai medan mengembalikan maruah sepak takraw negara selepas sering kali dibayangi kehebatan pasukan Thailand.

Mohammad Syahir, 21, berkata beliau dan rakan sepasukan nekad menamatkan kemarau 26 tahun pingat emas dalam acara regu berpasukan dengan melenyapkan ego Thailand yang dilihat memperlekehkan keupayaan pasukan negara dalam acara itu.

Kali terakhir Malaysia memperoleh emas regu berpasukan adalah di Sukan SEA Manila, Filipina pada 1991 dengan menewaskan Thailand 2-1.

Beliau yang juga ketua pasukan negara berkata kejayaan itu bakal menjadi bonus buat skuad sepak takraw kebangsaan selain membuka mata rakyat Malaysia terhadap kemampuan pasukan negara dalam menumbangkan musuh tradisi negara itu.

“Persediaan saya dan pasukan ketika ini cukup baik untuk berdepan pasukan lawan seperti Thailand nanti, termasuk telah berguru di sana selama dua bulan baru-baru ini.

“Latihan yang mendapat bimbingan jurulatih dari negara Gajah Putih itu sangat berguna dalam meningkatkan kemahiran selain mempertajamkan teknik ketika melakukan servis yang mampu menyumbang mata buat pasukan,” katanya kepada Bernama.

Walaupun beraksi di laman sendiri dijangka memberi kelebihan kepada Malaysia, beliau yang merupakan antara tonggak ketika kejayaan negara menyumbang emas dalam acara antara regu di Sukan SEA Singapura pada 2015 mengakui berasa tertekan namun berazam mahu menghadiahkan aksi terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

Selain fokus utama dalam meraih emas acara berpasukan, beliau turut menyasarkan untuk mempertahankan emas acara antara regu yang dimenangi pada edisi lalu selepas membenam cabaran Laos dengan keputusan 2-0 pada aksi final. Untuk rekod Thailand tidak menyertai acara antara regu ketika Sukan SEA Singapura. 

Mengenai penglibatannya dalam sepak takraw, anak jati Air Hitam, Pulau Pinang yang aktif bersukan sejak di bangku sekolah, mula bermain sukan itu seawal usia 11 tahun selepas menyedari beliau mempunyai kecendurangan dan kelebihan dalam sepak takraw.

“Saya menjadikan bekas guru saya, Raimi Azizan, sebagai idola dalam sepak takraw kerana beliau yang bertanggungjawab membimbing sehingga saya mewakili negara,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Impian, Pulau Pinang yang sangat terhutang budi atas jasa gurunya itu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih negara, Abd Talib Ahmad menyifatkan Mohammad Syahir antara tekong terbaik dunia ketika ini memandangkan beliau mempunyai ketinggian sempurna selain berupaya melakukan teknik servis deras yang menyukarkan pihak lawan untuk mengangkat bola sekali gus memberikan mata untuk pasukan.

Acara sepak takraw Sukan SEA 2017 telah membuka tirai Rabu lepas melibatkan acara Chinlone yang berakhir semalam,  Acara sepak takraw akan terus berlangsung sehingga 30 Ogos di Stadium Titiwangsa di sini. 

Bagi acara regu berpasukan yang bermula hari ini, Malaysia menundukkan Brunei 3-0 dalam saingan pagi tadi. - Bernama