KUALA LUMPUR akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia (OTC Asia) 2014 selama empat hari mulai 25 Mac ini.

OTC Asia merupakan persidangan minyak dan gas global untuk berkongsi idea mengenai kemajuan saintifik dan pengetahuan teknikal bagi sumber luar pesisir serta isu alam sekitar.

Acara itu akan mengumpulkan profesional tenaga, pakar-pakar dari kerajaan, syarikat-syarikat minyak nasional dan antarabangsa untuk meneroka dan membahaskan isu-isu industri yang berkaitan dalam 10 sesi panel.

Menurut kenyataan sekretariat persidangan itu hari ini, sesi berkenaan termasuk dua sesi pleno eksekutif, 10 sesi negara dan 53 kertas kerja teknikal. 

"Antara syarikat minyak yang mengambil bahagian pada OTC Asia ialah Petronas, Baker Hughes, ConocoPhillips, Gazprom, Halliburton, Shell, Technip, Weatherford dan Weststar Aviation. 

"Syarikat-syarikat minyak antarabangsa utama, syarikat minyak negara dan persatuan tenaga bebas akan menangani trajektori semasa dan masa depan mengenai imbangan permintaan dan penawaran gas asli cecair (LNG) global. 

"Ia juga akan melibatkan perkembangan industri utama baru-baru ini pada sesi panel mengenai penglibatan Asia Pasifik di pasaran LNG global," katanya. 

Menurut kenyataan itu, memandangkan negara-negara seperti India, China dan Malaysia menjadi semakin maju, permintaan rantau yang semakin meningkat bagi tenaga akan memberi kesan ketara kepada peningkatan permintaan global, yang memerlukan penambahbaikan penggunaan teknik-teknik penemuan. 

Sementara itu, sempena dengan OTC Asia, Formula 1 Petronas Malaysian Grand Prix dari 28-30 Mac, menawarkan 300 delegasi pertama mendaftar bagi OTC Asia tiket boleh mendapatkan tiket Premium Formula 1 Experience pada US$600. 

Harga khas berkenaan termasuk dua hari tiket Grandstand, akses kepada barangan eksklusif Formula 1 Petronas Malaysian Grand Prix dan masuk ke konsert Twin Towers@Live.

Maklumat lanjut untuk menghadiri OTC Asia 2014, boleh didapati dengan melayari www.otcasia.org. - Bernama