MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terkejut dengan tuduhan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail yang mendakwa ada konspirasi untuk menjatuhkannya, susulan pengguguran sukan tradisi itu daripada sukan teras.

Menurut Khairy, dia sama sekali tidak tahu menahu siapa individu terbabit dan apa motif Ahmad Ismail berbuat demikian.

 “Saya tak pasti apa yang dimaksudkan oleh dia, siapa individu itu saya pun tak tahu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Piala EurAsia 2018, di Holiday Inn Glenmarie, semalam.

Sebelum ini, Ahmad Ismail yang memegang tampuk kepimpinan PSM sejak 2003, mendakwa memiliki bukti terdapat pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) yang berkomplot dengan individu yang mahu menjatuhkannya.

Ketika ditanya adakah itu dakwaan tidak berasas dilemparkan Ahmad Ismail, Khairy bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Susah saya nak komen sebab saya tak tahu dia tuduh siapa..,” jelas Khairy.

Dakwaan terbaru Ahmad Ismail itu, terus mencetuskan ketegangan dengan MSN selepas PSM sebelum ini melabelkan badan berkenaan tidak profesional dan bermain politik.

PSM juga memutuskan tidak akan membuat rayuan terhadap dua keputusan berkenaan, selain tidak akan berbincang dengan MSN, sebaliknya terus berjumpa Khairy.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, dia bersedia untuk bertemu dengan badan induk itu bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.

“Minggu depan, saya akan jumpa pihak PSM dan dengar apa yang mereka ingin jelaskan. Saya juga akan menjelaskan dari pihak MSN mengapa kami mengambil keputusan untuk menggugurkan sukan itu dalam sukan teras,” katanya lagi.