MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin optimis bahawa masa depan skuad Harimau Malaya akan kembali gemilang di bawah kendalian ketua jurulatih Nelo Vingada serta kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata Vingada baharu sahaja mengendalikan skuad kebangsaan dalam tempoh masa yang singkat, dan tidak adil untuk menilai prestasi skuad kebangsaan hanya selepas satu kekalahan dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019, Selasa lepas.

"Saya telah menonton perlawanan itu sepenuhnya di tv, dan saya melihat bahawa kalau kita ambil separuh masa pertama sebagai contoh, kita melihat banyak perubahan yang positif.  Satu permainan yang kemas, tenang, organisasi yang baik dan disiplin yang tinggi.

"Ini menggambarkan masa depan pasukan kebangsaan kita. Sudah pasti kalau tengok dari segi keputusan pun, Lubnan ini satu pasukan yang ranking jauh lebih tinggi dari pasukan kebangsaan kita.

"Ini satu keputusan yang baik sebab kita menghampiri keputusan seri sampai ke saat yang terakhir. Jadi kita perlu positif dalam perkara ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas meninjau persiapan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjelang temasya Sukan SEA ke-29 dan Para Asean ke-9 (KL 2017) di sini.

Justeru, Khairy meminta agar peminat bola sepak tanah air dan media agar tidak membuat kesimpulan terlalu awal yang mengatakan bahawa skuad kebangsaan mahupun jurulatih serta FAM telah gagal.

"Perubahan itu tidak datang dengan cepat dan mudah. Kita bagi masa. Saya positif daripada perlawanan pertama pasukan kita di bawah jurulatih yang baharu," katanya.

Skuad Harimau Malaya yang berada di ranking ke-155, gagal memanfaatkan perlawanan di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Lubnan yang menduduki ranking ke-135, di Stadium Larkin, Johor Bahru, Selasa lepas.

Pada perlawanan kumpulan B itu, Mahali Jasuli meletakkan pasukan negara di hadapan pada minit ke-43 sebelum pemain gantian Lubnan, Rabih Ataya meledak dua gol pada minit ke-79 dan masa tambahan untuk mengesahkan kemenangan Lubnan.

Sementara itu, mengenai perkembangan positif skuad Bawah 22 (B-22) ketika menghadapi tiga perlawanan persahabatan di China, Khairy berharap para pemain dapat mengekalkan momentum mereka sehingga ke pertandingan sebenar acara bola sepak Sukan SEA membuka tirai.

"Kita ada dua bulan lagi... dan yang penting, adalah pemain sampai kepada kemuncak prestasi pada temasya Sukan SEA nanti," katanya.

Pada aksi persahabatan pertama menentang B-22 China di Xiangtan Sabtu lepas, skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Datuk Ong Kim Swee kalah 1-0 sebelum mengikat pasukan simpanan kelab Liga Super China, Guangzhou R&F FC 2-2 pada Selasa.

Skuad B-22 negara meraih kemenangan 3-0 ke atas skuad simpanan Guangzhou Evergrande pada aksi persahabatan terakhir semalam.

Pasukan B-22 akan beraksi dalam perlawanan kelayakan Bawah 23 Tahun AFC pada 15-23 Julai sebelum temasya Sukan SEA pada 19-30 Ogos nanti. – Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NASIB malang terus menimpa skuad Harimau Malaya apabila turun empat anak tangga kepada kedudukan ke-170 dunia dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang diumumkan hari ini.
  • EKOR Harimau Malaya, Ultras Malaya (UM'07) hari ini tampil menafikan dakwaan bahawa pemain ke-12 negara itu akan ke Ipoh menyokong skuad Perak menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, Ahad ini.
  • PENGENDALI Harimau Malaya, Nelo Vingada akui skuadnya masih dihantui masalah ketumpulan jentera serangan menjelang pertemuan dengan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.
  • APA pun kita perlu menang, namun dalam masa yang sama kita tidak boleh pandang rendah kepada pasukan Hong Kong yang mempunyai kelebihan tersendiri, kata pemain tengah negara, Baddrol Bakhtiar.
  • BANGKIT Harimau Malaya, buat yang terbaik malam ini, itu antara harapan dan doa rakyat Malaysia buat pasukan kebangsaan yang akan menentang Thailand pada final bola sepak Sukan SEA 2017.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.