TIADA kata dapat diluahkan Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail selepas pasukan kendaliannya tewas 3-0 kepada juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang lawan, malam tadi.

Menurutnya, The Red Warriors tewas dengan sebuah pasukan yang lengkap dalam perlawanan itu.

"Bagi saya kita kalah dengan satu pasukan yang baik, satu pasukan yang cukup segala-galanya, serba-serbi.

"Apabila bertandang di Larkin, kita tahu mungkin amat sukar bagi kita. Tapi saya rasa pemain-pemain saya sudah mencuba, tapi hanya setakat itu yang kita dapat.

"Mungkin itulah keputusannya," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan antara JDT dan Kelantan di Larkin.

Ditanya mengenai baki dua perlawanan yang akan ditempuhi Kelantan, Zahasmi berkata, pasukannya akan mencuba sehingga perlawanan yang terakhir.

Malah beliau optimis tiada yang mustahil dalam bola sepak meskipun kekalahan dialami menjadikan pasukan kendaliannya diletakkan antara kedudukan terbawah dalam liga.

"Harapan kita, kita terpaksa mencuba sehingga terakhir. Apa pun yang berlaku, kita akan mencuba. Mencuba tetap akan mencuba sehingga yang terakhir keputusan.

"Bagi saya bola ini macam-macam boleh berlaku. Kita masih ada berbaki dua perlawanan.

"Insya-ALLAH, apa-apa pun berlaku itulah dalam bola ini. Mungkin yang tidak disangka akan berlaku. Keputusan sebaliknya dan sebaliknya akan berlaku. Itulah bolasepak," katanya.

Selain itu, katanya, kekalahan kepada JDT berpunca daripada kesilapan pasukannya sendiri yang memberi gol mudah untuk tuan rumah.

"Mungkin kita ada satu kesilapan daripada kita sendiri, kita memberi gol-gol mudah untuk Johor menjaringkan gol.

"Dan memberi ruang untuk Johor bermain bola, dan satu lagi mungkin sikap melawan dalam satu perlawanan untuk menang kelebihan ada pada JDT," katanya.

Zahasmi turut akui kecewa dengan persembahan pemain-pemain import The Red Warriors yang dilihat gagal menyerlah dalam perlawanan itu.

"Mungkin...itulah bagi saya...saya ini nak cakap apa lagi. Itu yang kita ada, terpaksa kita menggunakan apa yang kita ada dan kita redha apa yang berlaku. Tapi bagi saya, kecewalah (dengan pemain import)," katanya.

Pasukan Kelantan tewas kepada juara Liga Super empat musim itu menerusi jaringan S Kunanlan, Gonzalo Cabrera dan Safiq Rahim dalam pertemuan yang turut disaksikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MORGARO Gomis masih berada dalam perancangan The Red Warriors (TRW) meskipun digugurkan pada pintu pendaftaran pertama Liga Malaysia (Liga-M), berakhir 11 Februari lalu.
  • BEKAS pengendali Perak, Datuk M Karathu antara calon jurulatih yang berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk dibawa masuk menggantikan Sathit Bensoh.
  • VELIZAR Popov menyatakan kesediaan membuka pintu rundingan sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berminat mendapatkan khidmatnya untuk membimbing The Red Warriors pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
  • KELANTAN akan melakukan 'post mortem' susulan kekalahan kepada Pahang pada pertemuan derby pantai timur itu dalam saingan Liga Super di Kuantan, malam kelmarin.
  • SKUAD Tok Gajah melakar kemenangan sulung dalam saingan Liga Super 2018 selepas menundukkan The Red Warriors (TRW) 3-0 di Stadium Darul Makmur, di sini malam ini.