SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengesahkan  akan  mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi membincangkan isu pengguguran sukan itu daripada senarai sukan teras kebangsaan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut Khairy, beliau akan mengadakan perjumpaan bersama Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail minggu hadapan.

“Saya akan berjumpa dengan PSM pada minggu depan. Biar kita tengok dulu apa keputusan yang boleh dicapai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran dan memperkenalkan pemain bagi Kejohanan Golf Piala EurAsia 2018 di Glenmarie Golf and Country Club, di sini hari ini.

Disember lepas, PSM berkeras mahukan Majlis Sukan Negara (MSN) kembali menyenaraikan sukan itu sebagai sukan teras negara dan menjadi acara dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

PSM juga tidak berhasrat membuat sebarang rayuan kerana merasakan tidak ada alasan  untuk  sukan  itu digugurkan daripada senarai 19 sukan teras kebangsaan.

Sebelum ini, media melaporkan Khairy mengumumkan sukan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada 19 sukan teras negara di bawah program MSN bermula dari Sukma Perak 2018.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata perlumbaan berbasikal jelajah berprestij di rantau ini, Le Tour de Langkawi 2018 akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Pada majlis pelancaran itu nanti kita boleh tengoklah semua maklumat terperinci berkaitan kejohanan  itu,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail memberi bayangan awal tarikh mesyuarat agung (AGM) PSM yang sepatutnya berlangsung pada April akan ditunda.
  • KUCHING - Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Paruwadi Musa berkata tidak ada masalah serius dalam persatuan itu dan kemelut sengaja diada-adakan oleh pihak luar yang mahu memecahbelahkan PSM.