ALOR SETAR - Pandangan setiap pihak akan diteliti Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum memutuskan pengendali baharu Lang Merah musim 2019.

Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, persatuan tersebut terbuka untuk menerima semua pandangan atau cadangan sebelum ia dimuktamadkan dalam Mesyuarat Exco KFA pada 8 Oktober depan.

Menurutnya, mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan menentukan ketua jurulatih dan pengurusan baharu pasukan Liga Super Kedah.

"Kami ambil perhatian, terbuka dan mendengar cadangan semua pihak namun pada akhirnya akan dibincangkan dalam mesyuarat.

"Pandangan seperti Persatuan Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (Kepda), kelab-kelab penyokong lain atau bekas pemain juga kami ambil maklum" katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Mohd Asmirul Anuar Aris. -FOTO: AHMAD ZAKI OSMAN

Mohd Asmirul berkata, KFA juga sedang membuat penstrukturan semula pengurusan dan juga pasukan bagi musim hadapan.

Jelasnya, pada mesyuarat tersebut juga barisan Ecxo akan turut membincangkan hala tuju dan masa depan semua pemain termasuk pemain import.

"Berhubung ketua jurulatih baru, beberapa nama akan dicadangkan sebelum pemilihan akhir dibuat," katanya.

Semalam, Sukan Sinar melaporkan Kepda mencadangkan bekas Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah mampu mengembalikan semula kegemilangan pasukan Liga Super Kedah pada musim 2019.

Pengerusinya, Nor Asmadi Hamzah berkata, Ketua Jurulatih Kedah Bawah 21 Tahun, Victor Andrag pula adalah gandingan terbaik Mohd Azraai untuk mengemudi pasukan tersebut dan wajar diberi ruang sebagai penolong ketua jurulatih utama musim hadapan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Azraai, Victor gandingan terbaik buat Kedah]