TEMPOH masa lama yang diambil oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memburu pengganti, Tan Cheng Hoe dikhuatiri mampu menjejaskan tumpuan pemain-pemain Hijau Kuning untuk menghadapi kempen saingan Liga Malaysia 2017.

Pengerusi Jaguh Utara Fans Club (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, khidmat bekas jurulatih juara berganda Kedah, Mohd Azrai Khor Abdullah masih boleh ditagih untuk menggantikan Cheng Hoe yang sah bakal membantu pasukan kebangsaan selepas ini.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu  menafikan kebolehan jurulatih asing seperti Ramon Marcote yang berjaya mencorakkan rentak tiki taka ke dalam pasukan pada musim lalu namun sentuhan Azraai juga turut terbukti.

"Di saat ini pemain Lang Merah seolah-olah hilang punca apabila berada dalam situasi sekarang dan kami melihat Azraai adalah calon yang terdekat untuk berada dalam pasukan. Kenapa  gajah yang ada di depan mata kita tak nampak tetapi kita sibuk mencari kuman di seberang laut.

"Saya percaya KFA juga dapat menjimatkan kos terutamanya membabitkan gaji apabila mendapatkan khidmat tempatan berbanding mendapatkan khidmat jurulatih luar," katanya.

Pandangan Mohd Safarizal itu seolah-olah sinonim dengan perkembangan semasa Kedah selepas pasukan itu memperoleh keputusan tidak memberangsangkan pada dua perlawanan Liga Super sebelum ini iaitu seri 1-1 dengan PKNS sebelum tewas 5-0 kepada T-Team.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.