ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mempertimbangkan kedudukan pemain import mereka, Paulo Rangel selepas enggan turun pada sesi memanaskan badan sebelum perlawanan  kedua Kumpulan C Piala Malaysia 2018 bertemu JDT di Larkin Jumaat lalu.

Beliau bersikap demikian selepas tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama malah pemain itu juga melakukan tindakan tidak profesional apabila tidak bersalaman dengan pegawai pasukan.

Pada perlawanan tersebut, Kedah tewas 5-1 kepada JDT sekaligus meletakkan Lang Merah berada di tangga tercorot dengan satu mata selepas dua perlawanan.

Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali berkata, hanya persatuan itu sahaja yang akan menentukan nasib pemain Brazil itu walaupun ketua jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusoff membayangkan Rangel sudah tidak ada dalam perancangannya pada baki saingan piala malaysia.

Jelasnya, satu mesyuarat khas juga akan diadakan dalam masa terdekat berikutan prestasi tidak menyakinkan Juara Piala Malaysia 2016 itu termasuk kemelut Rangel.

"Banyak aspek yang perlu diperhalusi terlebih dahulu selepas melihat prestasi pasukan dalam keadaan serba tidak menjadi. Nidzam mempunyai pendiriannya sendiri sebagai ketua jurulatih namun ahli majlis akan bermesyuarat dan membuat keputusan muktamad," katanya.

Menurutnya, KFA akan mempertimbangkan terlebih dahulu baik buruk sesuatu keputusan namun kepentingan pasukan tetap menjadi keutamaan.

"Bagaimanapun, KFA tidak akan kompromi dengan pemain yang tidak mempunyai disiplin dan semangat berpasukan kerana hal ini hanya akan merosakkan keseluruhan pasukan," katanya.

Mengulas peluang Kedah pada saingan piala Malaysia musim ini, Khamal Idris berkata, Kedah masih berpeluang untuk merebut slot ke suku akhir dengan syarat bangkit pada baki empat perlawanan peringkat kumpulan.

Katanya lagi, Lang Merah perlu mencatatkan kemenangan pertama apabila menerima kunjungan pendahulu kumpulan C, Mifa di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini.