PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) disaran tidak mengulangi kesilapan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berikutan penyingkiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku presiden persatuan bola sepak negeri itu.

Pandangan itu disuarakan bekas pemain Selangor, Khalid Ali yang meminta Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan tiga Exconya berfikir panjang sebelum melepaskan jawatan dalam persatuan itu.

"Ahli politik ini sebenarnya sangat diperlukan dalam persatuan bola sepak. Selain dapat menyalurkan dana, mereka juga bertanggungjawab melaksanakan pembangunan bola sepak negeri.

"Lihatlah apa yang terjadi di Selangor selepas Azmin melepaskan jawatan. Bola sepak di sini kucar-kacir dan ada banyak masalah dalaman berlaku," katanya.

Sebelum ini, Pemuda Umno Kedah menggesa Ahmad Bashah meletakkan jawatan dalam KFA selepas beliau dimalukan dan disorak dengan laungan 'boooo' oleh penyokong sewaktu final Piala Malaysia minggu lalu.

Selepas itu, tiga lagi Exco KFA menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan jika mendapat persetujuan presiden.

Bagi Khalid, keputusan untuk melepaskan jawatan bukan satu jalan penyelesaian terbaik buat masa sekarang.

Tambahnya, jika presiden dan Exco KFA menurut desakan itu, ia seakan-akan menunjukkan mereka tunduk kepada 'pihak luar' yang dilihat sedaya upaya mahu menjatuhkan persatuan itu.

"Saya berasakan kes di Kedah ini dipengaruhi hasutan 'pihak luar'. Jadi, seelok-eloknya, presiden dan tiga Exco ini tidak terlalu drastik dalam membuat keputusan untuk melepaskan jawatan.

"Walaupun sokongan daripada penyokong Kedah semakin pudar terhadap pihak persatuan, tetapi seharusnya mereka membuktikan kembali kepada penyokong bahawa mereka mampu mentadbir dan membangunkan bola sepak di negeri itu, berbanding melarikan diri dengan melepaskan jawatan," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RATA-rata penyokong percaya bekas penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote akan kembali mengemudi pasukan tersebut musim hadapan selepas seorang lagi calon pilihan, Mario Gomez mengakui beliau bukan lagi pilihan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).
  • SEMBILAN puluh lima peratus pemain Kedah pada musim ini bersetuju untuk terus dikekalkan pada tahun 2018 dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengakui tidak berlaku rombakan secara besar-besaran pada skuad tersebut.
  • ROMBAKAN perlu dilakukan di dalam pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kerana ketika ini nampak kelemahan dan kecacatan di dalam menguruskan persatuan tersebut.
  • PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) perlu membuat pilihan terbaik di dalam memilih pengendali baharu musim 2018 selepas dilihat kesuntukkan masa untuk membentuk dan membawa masuk beberapa lagi tenaga baharu ke dalam pasukan tersebut.
  • PENYERANG kebangsaan bawah 19 tahun, Zafuan Azeman sedang dalam rundingan bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan mengakui tawaran yang diberikan oleh gergasi utara itu antara yang tersusun setakat ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.