KETIADAAN dua tonggak import sedikit menjejaskan persiapan pasukan T-Team apabila bertemu Selangor dalam aksi Liga Super di gelanggang sendiri, minggu depan.

Ia berikutan 'awang' import pasukan itu  Farhod Tadjiyev dan Dilshod Sherofetdinov terpaksa pulang ke Uzbekistan untuk memperbaharui visa yang akan tamat tempoh, dan terlepas daripada mengikuti sesi latihan sepanjang menguruskan visa di negara kelahiran mereka.

Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan bagaimanapun yakin kedua-dua pemain berkenaan sempat beraksi pada perlawanan itu nanti.

"Mereka terpaksa pulang ke negara mereka, Ahad lalu untuk satu tempoh mungkin seminggu atau lebih seminggu...saya tidak pasti. Ia sedikit merencatkan persiapan pasukan dan merisaukan kita," katanya kepada pemberita, di sini.

Situasi berkenaan jelas menambah keresahan pengendali dari Indonesia itu terhadap tahap kecergasan dua tonggak importnya itu, lebih-lebih bagi menghadapi Selangor.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan prestasi seorang lagi pemain import, Mamadou Samassa, 31, yang mula menunjukkan keserasian bersama rakan sepasukan.

"Malah, beliau juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini," katanya.

Sementara itu, Rahmad menuntut barisan pemainnya supaya kekal fokus bagi memburu tiga mata penuh apabila bertemu Selangor, kelak. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KESILAPAN mudah yang dilakukan pemain T-Team menjadi punca kekalahan teruk pasukan di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi, akui ketua jurulatih Rahmad Darmawan.
  • PASUKAN berstatus kelab T-Team terus dirundum malang apabila diaibkan dengan kekalahan 6-1 ketika turun melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.