AMUKAN Serena Williams di perlawanan akhir kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat membawa padah apabila beliau didenda oleh pejabat pengadil kejohanan.

Denda itu dikenakan akibat kesalahan pemain Amerika Syarikat itu melanggar tiga kod yang mana beliau didenda £7,739 untuk kesalahan keganasan verbal, £3,095 untuk amaran berkomunikasi dengan jurulatih dan £2,321 lagi atas tindakannya menghancurkan raket, sekali gus menjadikan kesemuanya berjumlah £13,156 (RM70,568).

ada aksi final awal pagi Ahad itu, Serena didakwa berkomunikasi dengan jurulatihnya sewaktu permainan dan itu menyebabkan umpire perlawanan, Carlos Ramos memberikan amaran.

Amaran itu bagaimanapun menyebabkan Serena berang dan berlakunya perang mulut di antara kedua-duanya sebelum Serena melemparkan kata-kata kesat selain menuduh Ramos pencuri.

Kejadian itu membuatkan Serena terlepas gelaran Grand Slam ke-24 sekali gus gagal menyaingi rekod Margaret Court dan memberikan kemenangan pertama kepada pemain Jepun, Naomi Osaka.

Di sidang media selepas perlawanan, Serena menegaskan bahawa beliau tidak berkomunikasi dengan jurulatihnya seperti yang didakwa dan pada masa telah menuduh Ramos sebagai seorang yang mengamal sexism.