KENYATAAN bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mendedahkan badan induk itu membayar 'gaji buta' kepada pemain yang mengalami kecederaan dianggap sebagai kurang bijak.

Bekas pemain kebangsaan, Safee Sali menempelak kenyataan itu di laman Facebooknya selain turut meluahkan rasa kurang senangnya terhadap kenyataan Hasnul yang seolah-olah menganggap pemain yang mengalami kecederaan sebagai satu beban.

"Satu kenyataan yang kurang bijak daripada seorang yang berkedudukan tinggi. Tergerak hati saya untuk membantah sekeras-kerasnya kenyataan seperti ini.

"Inilah senario bola sepak sebenar. Pemain diperah keringat dan kudrat untuk pasukan. Bila dah cedera dan tidak mencapai sesuatu pemain akan dijatuhkan hukuman tanpa boleh berbicara.

"Di manakah struktur dan hala tuju bola sepak kita seandainya berterusan begini?," ujarnya.

Safee yang beraksi bersama PKNS FC musim lalu bagaimanapun menegaskan luahannya itu bukanlah atas faktor politik atau cuba menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya ia hanyalah atas dasar cintakan bola sepak.

"Saya hanya sayangkan bola sepak negara yang akan terus rosak jika perkara serius tidak diambil. Sungguh mengecewakan," katanya lagi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kepincangan dalam Pafa didedah]

Terdahulu, Hasnul ketika di sesi Dewan Rakyat mendedahkan Pafa mengalami kerugian dalam angka besar akibat kepincangan dan pembaziran dilakukan pengurusan sebelum ini.

Ujarnya, persatuan itu juga terpaksa menanggung kerugian hampir RM1.4 juta bagi membayar kos penamatan kontrak pemain import yang diberikan kuasa bayaran melalui pihak bawahan selain turut menanggung kerugian RM35,000 sebulan membayar gaji pemain tempatan yang mengalami kecederaan.