AHLI gabungan yang sebelum ini menandatangani surat mahukan Kongres Luar Biasa (EGM) dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tampil mendakwa mereka ditipu hidup-hidup.

Seorang yang menjadi mangsa ialah Presiden Kelab Bola Sepak Tunas Lagenda, Bakri Ibni.

Bakri ketika dihubungi Sukan Sinar mengakui ada pihak tidak bertanggungjawab cuba memporak-perandakan FAS apabila meminta pihaknya membuat surat dan menurunkan tandatangan bagi menyokong Raja Muda Selangor (RMS), selaku presiden.

Sebaliknya, tandatangan daripada surat itu telah digunakan untuk tujuan lain yang mana kononnya mereka selaku ahli gabungan dalam FAS bersetuju untuk mengadakan EGM dan merombak segala-galanya dalam badan induk itu.

"Surat itu dikeluarkan sendiri oleh setiausaha saya kerana pada asalnya kami diberitahu surat itu untuk menyokong Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah sebagai presiden. Tetapi bila dipanggil ke istana saya terkejut melihat surat ini ditukar kononnya kami setuju untuk tukar segala-galanya.

"Jadi orang yang bertanggungjawab ini sudah 'kelentong' semua orang," katanya.

Bakri berkata, beliau kemudiannya telah mengadakan pertemuan dengan pihak yang 'memberontak' bagi mendapatkan penjelasan selain turut bertindak sebagai orang tengah untuk meleraikan pergolakan ini.

"Yang memberontak ini kata kepada saya mereka bersetuju RMS jadi presiden. Tapi itu sahaja, jangan ganggu yang lain (penyandang jawatan sebelum ini). Yang lain semua kena kekal.

"Mereka kata yang mereka sudah lama dalam FAS dan pernah bawa Selangor meraih pelbagai kejuaraan sebelum ini," ujarnya.

Oleh kerana perkara ini tidak mencapai kata putus seperti yang diharapkan, Bakri yang juga bekas pemain kebangsaan mengambil keputusan untuk membatalkan sokongan daripada surat terdahulu dan memilih untuk terus menyokong RMS dan pengurusan baharu selepas mengadakan pertemuan di istana baru-baru ini.

"Tuanku panggil semua yang terlibat, sama ada yang turunkan tandatangan atau tidak yang mana pihak saya telah dipanggil beberapa hari lalu. Jadi ada dua perkara yang dibincangkan pada waktu itu. Yang pertama, soal EGM dan yang kedua berkaitan pasukan Selangor.

"Selepas mendengar perancangan dan hala tuju itu, kami semua pihak menjelaskan bahawa kami ditipu. Jadi, semua yang ada pada waktu itu memilih untuk menarik balik tandatangan tersebut," katanya lagi.