JURULATIH berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah melihat rombakan pasukan perlu dilakukan pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada selepas skuad negara tewas kepada Lubnan 1-2 aksi Kelayakan Piala Asia, kelmarin.

Menurutnya, keputusan itu memberikan petanda beberapa pemain senior dan simpanan tidak menepati kriteria yang diingini selain tidak layak menyarung jersi Harimau Malaya.

Malah, kata Mohd Azraai, pemain tersebut perlu digugurkan dan Vingada perlu mencari pemain baharu yang lebih berkualiti dan mampu bermain dengan baik.

“Saya tak nak lah sebut siapa pemain itu. Tetapi kalau kita tengok aksi semalam (kelmarin) , kita pun tahu siapa yang perlu digugurkan.

“Bagi saya, Vingada telah nampak pemain yang di canang bagus sebelum ini tetapi hanya indah khabar dari rupa. Bila Liga Malaysia bersambung selepas ini, Vingada perlu meluangkan masa mencari pemain yang lebih berkualiti,” katanya.

Katanya, beliau yakin Vingada sudah mempunyai perancangan pemain yang perlu ditukar selepas perlawanan  itu selain tidak menolak beberapa pemain kuda tua juga perlu disingkirkan.

“Ini satu cabaran buat Vingada. Bagi saya beberapa pemain ‘lama’ perlu dibuang kerana sikap serta attitude mereka masih tidak berubah dan masih bermain sambil lewa," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Mohd Azraai mengakui penyakit lama skuad negara masih gagal dikikis apabila melepaskan gol pada minit-minit akhir perlawanan .

“Separuh masa pertama mereka bermain dengan baik tetapi apabila masuk separuh masa kedua semua dah macam ‘heret kaki’. Semua dah tak larat kejar bola.

“Pemain juga banyak hilang bola dan gagal ‘pressing’ lawan dengan betul. Malah gol kemenangan Lubnan itu juga sepatutnya tidak patut berlaku,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih Felda United, B Sathianathan menyifatkan kekalahan tersebut sebagai pengajaran berguna kepada pemain dan jurulatih menjelang perlawanan kedua menentang Hong Kong, September ini.

Menurutnya, beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti perlu diperbaiki sepenuhnya jika ingin melihat pasukan negara mampu pergi jauh.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin optimis bahawa masa depan skuad Harimau Malaya akan kembali gemilang di bawah kendalian ketua jurulatih Nelo Vingada serta kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.