PAUL Pogba mendedikasikan kejayaan Perancis mara ke final Piala Dunia awal pagi tadi kepada 12 kanak-kanak yang terselamat dalam insiden terperangkap dalam gua di Thailand.

Kesemua 12 pemain dan seorang jurulatih daripada pasukan bola sepak remaja Mu Pa (Babi Hutan) yang terperangkap di dalam gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai, utara Thailand sejak 23 Jun lalu berjaya diselamatkan.

Baki lima daripada mereka berjaya dikeluarkan daripada gua tersebut semalam, manakala lapan lagi telah diselamatkan dalam dua operasi yang dilakukan kelmarin.

Susulan kemenangan 1-0 di Saint Petersburg, pemain tengah Manchester United menerusi akaun Twitter miliknya berkata: “Kemenangan kepada hero hari ini, syabas semua, anda sangat kuat," katanya.

Perancis mara ke final Piala Dunia buat kali ketiga selepas menewaskan Belgium 1-0  dalam aksi separuh akhir hasil tandukkan tunggal Samuel Umtiti minit ke-51 permainan.

Kali terakhir Les Bleus itu mara ke pentas akhir pada tahun 2006, namun tewas kepada Itali 5-3 menerusi penentuan penalti.

Mengulas kemenangan itu, Pogba menggesa rakan sepasukannya untuk tidak melepaskan peluang menjulang trofi Piala Dunia selepas melepasi ranjau separuh akhir.

"Ia sungguh indah dan bagus tetapi masih ada satu langkah. Hari ini, saya gembira tetapi tidak seperti ketika aksi Euro 2016. Kami berpeluang untuk menjuarainya tetapi terlepas perkara hebat dan peluang ini tidak seharusnya dilepaskan.

"Anda harus fokus. Kami meraikan kemenangan tetapi kini mula memberi perhatian kepada final. Kami melakukannya pada 2016, hampir menjulang trofi dan akhirnya terlepas.

"Saya gembira apabila melihat orang ramai tersenyum tetapi saya juga berharap dapat menambah kegembiraan itu pada Ahad nanti," tambahnya.