MERAIH pingat emas Sukan Olimpik, muncul juara dunia serta menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas menjadi misi peribadi Cheah Soon Kit selepas dilantik sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara.

Namun di sebalik itu, Soon Kit percaya misi tersebut tidak akan mampu dilaksanakan andai pemain itu sendiri tidak mahu melakukan perubahan dalam diri masing-masing.

Bagi Soon Kit, setiap pemain perlu berusaha untuk kembali berada pada prestasi terbaik andai mahu meraih kejuaraan dunia mahupun emas di Sukan Olimpik.

“Pemain mesti mempunyai cita-cita. Mereka tidak boleh berada dalam pasukan kebangsaan tanpa ada apa-apa matlamat atau tujuan.

“Jurulatih hanya akan membantu apa yang mampu seperti meningkatkan semangat mereka, tapi untuk menjadi pemain terbaik, ia perlu bermula dari diri mereka.

“Mereka perlu tingkatkan tahap permainan. Sikap ketika sesi latihan juga perlu diubah. Yang paling penting kemahuan dalam diri juga perlu sentiasa tinggi,” katanya.

Soon Kit yang sebelum ini melatih beregu muda akan dibantu jurulatih skuad senior, Jeremy Gan dan Rosman Razak.

Mengulas mengenai peranca-ngannya, Soon Kit berkata, masih terlalu awal buat untuk didedahkan.

“Saya akan cuba mengurus semua pemain dan cuba mencari jalan terbaik bagi membentuk mereka. Jadi, kami perlukan perancangan yang baik.

“Buat masa ini, kita semua tahu bahawa Goh V Shem dan Tan Wee Kiong telah pun mencapai tahap tertinggi, jadi saya perlu membentuk satu lagi gandingan bertaraf dunia,” tambahnya.

Prestasi V Shem, Wee Kiong

Sementara itu, Soon Kit mahu V Shem- Wee Kiong diberi ruang dan peluang untuk kembali bangkit selepas mengalami krisis prestasi ketika ini.

Beregu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, kini sedang bergelut dengan prestasi terumbang ambing musim ini selepas hanya mampu sampai ke peringkat suku akhir di tiga kejohanan super siri iaitu Seluruh England, Terbuka India dan Singapura tahun ini.

V Shem-Wee Kiong perlu sokongan semua pihak.

V Shem-Wee Kiong belum merekodkan kejuaraan pada tahun ini.

Kali terakhir mereka bergelar juara ketika saingan Siri Super Akhir di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Disember lalu.

Soon Kit mengakui masih banyak yang perlu dilakukan V Shem-Wee Kiong bagi memperbaiki prestasi mereka menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

Malah baginya, kedua-dua pemain itu perlu mencari formula baharu selepas corak permainan mereka sudah dibaca pihak lawan.

“Mereka perlu segera atasi masalah ini.

“Tekanan bagi mereka sekarang memang sangat tinggi tetapi saya harap peminat dan jurulatih memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

V Shem-Wee Kiong yang menarik diri daripada Terbuka Indonesia minggu lalu kemungkinan akan menyertai Terbuka Australia yang akan membuka tirai esok hingga 25 Jun ini.

Selepas itu, mereka akan bersaing di Terbuka Amerika Syarikat pada 19 hingga 23 Julai sebelum menyertai Terbuka New Zealand (1 hingga 6 Ogos).

“Kecederaan yang dialami mereka sebelum ini makin baik dan kini mereka giat jalani latihan.

“Mereka perlu bermain dalam satu atau dua kejohanan untuk menaikkan kembali keyakinan mereka di gelanggang. Dan kami sedang berusaha untuk membantunya,” katanya yang pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • CABARAN Malaysia pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Indonesia berakhir selepas pasangan beregu tunggal negara, Chan Peng Soon-Peck Yen Wei tumpas di separuh akhir pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta, hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.