KEM Bakat Badminton yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat memastikan negara berupaya melahirkan jaguh sukan badminton bertaraf dunia menerusi usaha mengesan bakat sejak awal di seluruh negara.

Seramai 61 orang peserta berumur  9 hingga 12 tahun dari seluruh negeri Pahang telah mengikuti kem tersebut turut mendapat kerjasama daripada Nusa Mahsuri yang berlangsung selama tiga hari.

Penolong Pengarah Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Muhamad Hafizi Ahmad Zaini berkata, ramai bakat baharu sukan badminton telah dapat dicungkil selama hampir 16 tahun kem itu dilaksanakan.

Menurutnya, menerusi kem tersebut, pihaknya dapat mengenal pasti sembilan pemain berbakat yang harus diketengah yang mampu didedahkan seawal mungkin bagi memastikan mereka terus menyerlah.

“Setiap kem badminton disertai oleh 60 kanak-kanak yang meminati permainan itu tetapi tidak pernah mendapat pendedahan latihan dan teknik asas permainan melalui jurulatih yang berpengalaman.

“Kanak-kanak yang dipilih akan bermalam di lokasi kem serta diberikan latihan padat selama tiga hari dengan pelbagai aktiviti sebagai pendedahan awal untuk menjadi seorang ahli sukan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Penutup Kem Bakat Badminton KBS Peringkat Negeri Pahang di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang di sini, hari ini.

Muhamad Hafizi berkata, kem tersebut mampu memberi pendedahan cara bermain yang betul selain menanam minat kanak-kanak dalam sukan tersebut yang mampu diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, menurutnya, ia mampu mewujudkan keseimbangan kepada pembangunan badminton dengan lebih tersusun di peringkat akar umbi dan melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas.

Tambahnya,antara modul latihan yang diberikan kepada para peserta merangkumi aspek teknikal, fizikal, mental, perasaan dan taktikal.

"Kem ini juga mengajar mereka bagaimana untuk membuang perasaan malu jika mereka diejek dan membina keyakinan diri para peserta ketika beraksi di gelanggang.

“Peserta kem diberi latihan sama seperti pemain professional agar mereka merasai cara hidup seorang ahli sukan yang perlu bangun seawal jam 6.15 pagi untuk memulakan latihan.

“Mereka turut diberikan penerangan mengenai cara pemakanan yang betul selain merasai sendiri bagaimana cara jurulatih professional melatih para pemain kebangsaan,” katanya.