KOTA BHARU - Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan menyasarkan 18 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak, September ini.

Penolong Pengarah Pentadbiran dan Atletnya, Tuan Aziz Tuan Mat berkata, sasaran tersebut mampu direalisasikan berdasarkan persiapan rapi atlet mereka yang kini memasuki fasa kedua latihan.

“Hasil perbincangan bersama persatuan-persatuan sukan kita meletakkan sasaran 18 emas dalam Sukma kali ini. Sukma ke-18 di Sarawak kita hanya memperoleh 10 emas dan gagal mencapai sasaran 15 emas.  

“Namun kali ini saya optimis kita boleh mencapai sasaran 18 emas dan menempatkan diri dalam kelompok 10 atau 11 daripada keseluruhan 15 kontinjen bertanding,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Kelantan bakal menghantar seramai 320 atlet beraksi dalam 25 acara sukan dan angkat berat, ragbi, tinju, silat olahraga, muay thai, tinju serta olahraga merupakan prospek sukan yang mampu memberi kilauan emas buat kontinjen berkenaan.  

“Sasaran kita adalah menerusi sukan kombat dan individu. Ia lebih realistik dengan mengambil kira kekuatan Kelantan meraih pingat datang daripada sukan ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas jumlah penghantaran atlet mereka kurang berbanding edisi di Sarawak, Tuan Aziz memberitahu, ia diputuskan selepas pihaknya berdepan kekangan dari segi kewangan untuk menghadapi kejohanan itu.

“Kita ada memohon peruntukan daripada MSN pusat, asalnya hantar 529 peserta melibatkan 29 acara sukan tetapi akibat masalah bajet ada beberapa acara digugurkan.

“Macam contoh futsal lelaki dan wanita, bola baling lelaki dan hoki, kalau ada pasukan nak pergi, mereka boleh bertanding tetapi di bawah tanggungjawab sendiri,” katanya.

Beliau berkata, MSN Kelantan tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk menidakkan kemampuan atlet mereka bersaing dengan peserta negeri lain.

“Kita dapat peruntukan sekitar RM1 juta dan itu bajet paling rendah tetapi saya percaya ia tidak mengganggu proses pembentukan pasukan, latihan berjalan lancar dan tiada penurunan prestasi.

“Kita akan panggil semua persatuan bermesyuarat kali ketiga dan saya telah beri arahan agar mereka menggandakan latihan secara sistematik berbaki tempoh dua bulan ini,” katanya.