SKUAD bola sepak Kelantan diminta tidak memandang mudah cabaran Pulau Pinang walaupun lawan yang akan menunggu kunjungan mereka di Stadium Batu Kawan, esok menghuni tangga tercorot Liga Super ketika ini.

Malah pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail tidak mahu anak buahnya mengulangi kesilapan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru, apa lagi Pulau Pinang yang kini dilatih Zainal Abidin Hassan sudah menunjukkan tanda kebangkitan.

"Saya lihat ada kekuatan baharu yang dipamerkan dalam setiap perlawanan yang dilalui Pulau Pinang sebelum ini, justeru pemain Kelantan seharusnya tidak mengambil mudah perlawanan malam esok.

"Pemain perlu memberi lebih tumpuan dan tidak mengulangi kesilapan sama seperti menentang Pahang dan JDT dalam dua perlawanan sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kedua-dua perlawanan itu, Kelantan mendahului lawannya sebelum membenarkan Pahang dan JDT, masing-masing bangkit untuk menang 2-1 dan 3-2.    

Pada masa sama, Kelantan pula dijangka menghadapi sedikit kesukaran untuk bertemu Pulau Pinang malam esok berikutan beberapa pemainnya tidak dapat diturunkan akibat digantung perlawanan dan cedera.

"Kami kehilangan Mohamad Qayyum Marjoni Sabil akibat kad merah pada perlawanan bertemu JDT sebelum ini, manakala Alessandro Celin masih belum pulih daripada kecederaan.

"Pemain juga masih kepenatan selepas terpaksa mengharungi dua perlawanan dalam tempoh seminggu namun saya harap mereka akan memberi persembahan terbaik pada malam esok," katanya.

Beliau berkata Kelantan perlu mengekalkan rekod kemenangan di tempat lawan bagi memastikan mereka terus kekal bersaing.

Kelantan berada pada kedudukan keenam liga selepas sembilan perlawanan dengan mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan lima kekalahan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEMANGKU Jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh menganggap kejayaan kekal dalam saingan Liga Super tahun depan merupakan ‘episod paling menggembirakan’ di sebalik prestasi tidak menentu pasukannya sepanjang musim ini.
  • SKUAD Tok Gajah menamatkan saingan Liga Super 2017 selaku naib juara walaupun terikat seri 1-1 berdepan Perak dalam aksi terakhir liga di Stadium Darul Makmur di sini sebentar tadi.
  • KETUA Jurulatih Felda United, B Sathianathan enggan meletakkan harapan besar untuk pasukannya mengakhiri musim ini di kelompok dua pasukan terbaik Liga Super menjelang perlawanan terakhir liga menentang PKNS FC di Shah Alam, malam ini.
  • PENGENDALI Selangor, P Maniam mengidamkan kemenangan dalam perlawanan terakhir Liga Super menentang Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan, malam ini.
  • MISI hidup mati Kelantan sama ada kekal dalam saingan Liga Super musim depan bakal ditentukan selepas 90 minit aksi terakhir menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.