KELANTAN mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila bertemu Sabah pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini.

Kapten The Red Warriors, Mohd Farisham Ismail berkata, pasukannya perlu mencari bekalan selesa bagi memastikan mereka tidak berdepan laluan sukar pada aksi timbal balik, 29 September ini.

“Empat kemenangan, satu seri dan sekali kalah yang dicatatkan Sabah membuktikan mereka sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang mudah dalam pertembungan fasa kalah mati ini.

“Jadi Kelantan perlu rebut peluang pada perlawanan pertama dengan mencari lebih banyak jaringan kerana kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku pada suku akhir kedua nanti,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun pertahanan berusia 32 tahun itu mengakui pertemuan menentang skuad Badak bukan tugas mudah walaupun mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Menurutnya, skuad kendalian Jelius Ating membuktikan meskipun berstatus pasukan Liga Perdana namun mereka masih mampu mencipta kejutan apabila muncul juara Kumpulan D.

“Tetapi saya percaya jika pemain dapat mengulangi corak permainan sama seperti menewaskan Kedah baru-baru ini tak mustahil kita boleh mencatatkan keputusan positif.

“Ketika ini moral pasukan berada pada tahap terbaik dan saya yakin rakan-rakan juga mempunyai semangat tinggi mahu mengalahkan Sabah sekali gus mengembalikan semula kepercayaan penyokong terhadap pasukan ini,” katanya.