KELANTAN meleraikan badi kekalahan dalam tiga perlawanan terdahulu apabila mengejutkan Selangor 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Kemenangan bermakna ke atas naib juara Piala FA itu sekali gus menyemarakkan semangat The Red Warriors untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Malah ia turut menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah naik ke tangga ke-11 daripada tercorot selepas Negeri Sembilan tewas 3-5 kepada PKNS FC di Shah Alam.

Selangor yang melakukan sepak mula jelas menguasai awal permainan apabila melancarkan serangan bertali arus namun sepakan lambung Azamuddin Mohd Akil melepasi palang, pada minit ke-12.

Seminit kemudian, tuan rumah memperoleh peluang pertama menerusi Cristiano Santos ketika berlaku situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Selangor namun dia lambat melakukan percubaan tepat ke pintu gol.

Peluang kedua Kelantan menyusul pada minit ke-16 tetapi rembatan kaki kiri Mohd Danial Ashraf Abdullah terlalu lemah dan tersasar jauh daripada gawang pelawat.

Kelantan terus memberi tekanan ke atas Red Giants tetapi Santos sekali lagi mempamerkan ketumpulan penyudah apabila gagal menolak masuk umpanan pendek Shafiq Shaharuddin ketika berdepan penjaga gol, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, dua minit selepas itu.

Pelawat yang kembali mengimbangi rentak permainan seharusnya berada di depan pada minit ke-25 tetapi rembatan padu pemain import mereka, Evan Dimas Darmono pula dinafikan palang ketika Mohd Shahrizan Ismail sudah tertewas di posisinya.

Anak buah Muhammad Nazliazmi Nasir sekali lagi lagi kempunan mencetak jaringan apabila percubaan jarak dekat penyerang import prolifik, Rufino Segovia setelah Cassio de Jesus menanduk angin digagalkan Mohd Shahrizan, pada minit ke-33.

Kebuntuan jaringan akhirnya dileraikan oleh tuan rumah apabila Shafiq memanfaatkan hantaran rakannya dengan melakukan sepakan lencong sekali gus menewaskan Mohd Khairulazhan, dua minit kemudian.

Penghujung babak pertama, Segovia berpeluang untuk mengikat kedudukan tetapi percubaan penyerang import Sepanyol itu dibaca tepat Mohd Shahrizan yang menampan keluar untuk memastikan tuan rumah mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus menggandakan asakan ketika pelawat bergelut dengan aksi hambar tetapi tandukan Cassio de Jesus dan Baktyiar Duisobekov gagal menepati sasaran pada minit ke-54 dan 61.

Menuju minit ke-63, Santos seharusnya meletakkan tuan rumah selesa mendahului tetapi rembatannya selepas memperdayakan Mohd Razman Roslan dan Alfonso de la Cruz terkena tiang ketika Mohd Khairulazhan terpaku di pintu golnya.

Aksi kembali rancak dengan penguasaan mutlak tuan rumah selepas itu tetapi percubaan pemain gantian, Nik Azli Nik Alias diselamatkan penjaga gawang pelawat pada minit ke-68 disusuli tampanannya melepasi palang, lima minit kemudian.

Di sebalik asakan menggila Kelantan, pelawat akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila Sean Eugene Selvaraj melepaskan rembatan deras yang gagal ditepis Mohd Shahrizan, pada minit ke-78.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Mohd Danial Ashraf Abdullah menolak masuk gol kedua hasil gerakan menarik Baktyiar sekali gus mengesahkan kemenangan Kelantan, pada minit ke-85.