FOOTBALL Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk meringankan denda pemotongan mata dikurangkan kepada tiga berbanding enam mata sebelum ini.

FMLLP, bagaimanapun mengekalkan sekatan perpindahan pemain untuk jendela kedua ekoran Kafa gagal memenuhi kriteria yang diperlukan.

FMLLP dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan keputusan mengurangkan denda itu dibuat berdasarkan kesungguhan Kafa melengkapkan pendaftaran pasukan dengan mengemukakan pelan pembayaran untuk jumlah yang tertunggak.

Namun, FMLLP berkata pihaknya tidak dapat memberi kelulusan budi bicara ke atas permintaan Kafa kerana menyifatkan perpindahan pemain tidak memberi impak positif kepada kedudukan kewangan persatuan bola sepak negeri berkenaan.

"Rayuan kedua ini dapat dipertimbangkan kerana Kafa telah mengambil langkah proaktif untuk berjumpa dengan pihak FMLLP pada 5 Jun 2017 tentang isu pendaftaran pasukan dan juga rayuan kedua ini telah diiringi dokumen-dokumen sokongan.

"Pertimbangan sewajarnya telah diberi kepada usaha pihak Kafa untuk melangsaikan tunggakan-tunggakan sedia ada melalui dokumen-dokumen yang dihantar kepada FMLLP pada 8 Jun 2017," menurut kenyataan.

Sementara itu, FMLLP memberi tempoh sehingga 31 Oktober depan, kepada Kafa untuk menyelesaikan tunggakan gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"FMLLP memohon agar Kafa melengkapkan proses pendaftaran dengan mengemukakan surat penyelesaian gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN kepada FMLLP secepat mungkin.

"Jika KAFA gagal melengkapkan proses pendaftaran sebelum hari akhir pada 31 Okt 2017, tindakan boleh diambil untuk menyingkirkan KAFA ke divisyen yang bawah daripada divisyen di mana KAFA sepatutnya bertanding untuk musim 2018," menurut kenyataan itu.

Kelantan bersama tiga pasukan lain dikenakan pemotongan enam mata dan larangan mendaftar pemain baru pada Mei lalu susulan kegagalan melengkapkan proses pendaftaran pemain melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sebelum 31 Mac 2017.

Selain Kelantan, turut menghadapi hukuman yang sama adalah T-Team, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengadakan pemilihan terbuka bagi membentuk skuad bawah 19 tahun (B-19) menghadapi kempen Piala Belia, musim depan.
  • TEKA-TEKI siapa jurulatih baharu Kelantan terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), hari ini, mengumumkan pelantikan Sathit Bensoh mengemudi pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.
  • PEMGUMUMAN Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang mengesahkan Negeri Sembilan mengisi slot ke Liga Super 2018 nyata menggembirakan puluhan ribu penyokong setia Hoben Jang Hoben.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menerima penajaan RM2 juta sebagai persediaan pasukan Kelantan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk mengeluarkan kenyataan mengenai badan induk itu di media massa dan media sosial.