KELANTAN menewaskan Sabah 2-1 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah membawa bekalan tipis bagi menghadapi aksi timbal balik di Likas, 29 September ini.

Beraksi di hadapan hampir 14,000 penyokong tuan rumah, Sabah terlebih dahulu mencemaskan pintu gol menerusi sepakan percuma Maxsius Musa tetapi tandukan Odoljub Paunovic berjaya dikeluarkan Baktiyar Duishobekov, pada minit kelima.

Empat minit berselang, Kelantan memperoleh peluang pertama tetapi percubaan Mohd Danial Ashraf Abdullah tertampan Rozaimie Rohim sebelum penjaga gawang Sabah itu sekali lagi menggagalkan tindakan susulan Mohammad Imran Samso.

Minit ke-20 menyaksikan tuan rumah sekali lagi mencipta gerakan berbahaya namun rembatan Shafiq Shaharudin hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol pelawat.

Penantian anak buah Yusri untuk memecahkan kebuntuan akhirnya terlerai tidak lama kemudian apabila sepakan penjuru Nik Akif Syahiran Nik Mat yang ditanduk ke belakang Cassio de Jesus disambut dengan tandukan tajam Baktiyar untuk mendahului 1-0, pada minit ke-29.

Malang menimpa pelawat apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Randy Baruh dilayangkan kad merah setelah melakukan kekasaran ke atas bek kiri Kelantan, Mohamad Azwan Aripin pada minit ke-39.

Walaupun kekurangan pemain namun anak buah Jelius Ating tidak patah semangat sebaliknya mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Hamran Peter setelah berlaku kekalutan di depan gawang, empat minit kemudian.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila tuan rumah diberikan sepakan penalti selepas Mohamad Imran dikasari dan Nik Akif Syahiran tenang menyempurnakannya untuk Kelantan sekali lagi mendahului, pada minit-minit akhir babak pertama.

Sabah memulakan aksi babak dengan corak permainan positif tetapi percubaan penyerang import Puerto Rico, Hector Omar Ramos tepat ke dakapan penjaga gol Kelantan, Mohd Faridzuean Kamarudin, pada minit ke-49.

Namun pemain muda tuan rumah kembali mengimbangi rentak permainan dan hampir menggandakan jaringan menerusi percubaan kencang Baktiyar yang sedikit melewati palang, enam minit kemudian.

Kelantan terus memberi tekanan ke atas Sabah dan sentuhan pertama Nik Azli Nik Alias selepas dimasukkan pada minit ke-63 membuka ruang buat Cristiano Santos melepaskan rembatan yang ditampan keluar pertahanan lawan, seminit selepas itu.

Pelawat yang dilihat lebih banyak bertahan bagaimanapun nyaris menyamakan pada minit ke-74 tetapi rembatan jarak dekat Omar Ramos pula terkena tiang.

Aksi kian rancak dengan giliran tuan rumah membalas serangan tetapi Santos mensia-siakan peluang terhidang apabila percubaannya ketika gawang lawan terbuka luas dipatahkan Alto Linus, seminit kemudian.

Menuju penghujung permainan, Kelantan terus berusaha mencari jaringan ketiga tetapi dua percubaan Nik Akif Syahiran serta Fakrulzaman Wan Abdullah Zawawi gagal menepati sasaran dan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.