KEJUARAAN pertama 2012 semakin hampir buat pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei apabila menepati ramalan melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea.

Pemain pilihan utama kejohanan itu, bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Kenichi Tago dari Jepun 21-18,21-17 dalam masa 49 minit pada perlawanan yang berlangsung di arena Gimnasium Olimpik, Seoul, semalam.

Selepas berjaya membenam Hsueh Hsuan Yi pada pusingan pertama Rabu lalu dan menundukkan Shon Wan Ho (Korea Selatan) sehari kemudian, Chong Wei terus mengorak langkah untuk berdepan perseorangan China, Du Pengyu pada sai­ngan separuh akhir, hari ini.

Andai berjaya menundukkan Du Pengyu, Chong Wei dijangka berdepan tugas getir pada aksi final kerana berpotensi berdepan seteru utama, Lin Dan. Lin Dan sebelum ini menundukkan Jan O Jorgensen dari Denmark, 21-13, 8-21, 21-15.

Selepas kekalahan teruk beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kelmarin, Chong Wei kini menggalas misi besar negara untuk mencipta kejayaan di negara empat musim itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.