$entry.content.caption.value
SEBUAH kereta BMW Z4 dan Mini Cooper menjadi hadiah kepada pemain yang membuat pukulan ‘hole-in-one’ (pukul sekali masuk lubang) dalam Tuanku Muhriz Shield Golf Challenge 2012 di Nilai Spring Golf & Country Club, Nilai pada 25 Februari ini.
Pengerusi jawatankuasa penganjur Datuk Rusli Harun berkata hadiah lain termasuk pelbagai barangan serta cabutan bertuah.
“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut kejohanan ini diadakan bagi merebut hadiah utama piala pusingan Perisai (Shield) Tuanku Muhriz.
“Kejohanan ini diadakan sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku
Muhriz Almarhum Tuanku Munawir yang ke-64 pada 14 Januari lalu,” katanya pada satu sidang media semalam.
Rusli berkata kejohanan ini disertai 200 pemain secara jemputan yang terdiri daripada kerabat diraja, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Exco, anggota Dewan Undangan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri serta kenalan Tuanku Muhriz.
Kejohanan anjuran Persatuan Tuanku Muhriz Shield Negeri Sembilan berlangsung dalam dua sesi iaitu sebelah pagi dan petang manakala majlis penyampaian hadiah dan jamuan makan diadakan pada sebelah malam, katanya. - Bernama






