ALOR SETAR - Misi Kedah memburu mata penuh pada perlawanan ke-18 Liga Super 2018 bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat malam ini tidak terjejas biarpun perancang utamanya, Liridon Krasniqi mungkin tidak diturunkan akibat kecederaan.

Pengurus Liga Super Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata, pemain tengah itu dinasihatkan untuk berehat oleh doktor pasukan selepas berkeras mahu diturunkan walaupun menahan sakit sejak beberapa perlawanan lalu.

Menurutnya, pengurusan menghormati keputusan doktor pasukan kerana tidak mahu melihat kecederaan yang dialami Liridon bertambah teruk.

"Bagaimanapun misi dan sasaran kami adalah jelas pada perlawanan bertemu Melaka United dengan mencapai kemenangan di laman mereka kerana Kedah masih mempunyai ramai pemain utama boleh menggalas tugas yang ditinggalkan pemain Kosovo itu.

"Kami juga tidak mahu mengambil risiko dan akur dengan nasihat pasukan perubatan pasukan yang mahu Liridon fokus kepada pemulihan kecederaannya buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Syed Khairol Anuar berkata, rata-rata pemain utamanya sudah kembali cergas dan bagi yang baru sahaja tamat tugasan bersama pasukan senior kebangsaan dan bawah 23 tahun kebangsaan akan terus berkumpul bersama pasukan di Melaka.

Jelasnya, hanya khidmat Akhyar Rashid sahaja terpaksa dikecualikan kerana sedang membantu pasukan bawah 19 tahun kebangsaan di Kejohanan Bawah 19 Tahun AFF 2018 di Indonesia.

Pada aksi terakhir di Stadium Darul Aman, Liridon dikeluarkan awal akibat kecederaan paha dan beliau dijangka mengambil sedikit masa untuk pulih dan beraksi kembali bersama rakan sepasukan.

Laman facebook rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melaporkan ketika sesi latihan bermula 2 Julai lalu, Liridon hanya berehat bagi memastikan kecederaan otot pahanya cepat pulih sebelum kembali menjalani latihan kecergasan.

Hijau Kuning akan menghadapi lima perlawanan dalam tempoh singkat iaitu bermula 10 Julai bertemu Melaka United, 13 Julai bertemu JDT FC, 17 Julai bertemu Terengganu FC, 21 Julai bertemu Perak FA sebelum melabuhkan tirai liga dengan bertemu PKNP FC pada 27 Julai.

Liridon berkemungkinan dapat beraksi kembali dalam dua aksi terakhir liga jika proses pemulihan berjalan lancar.

Kedah kini berada di tangga ketiga liga super dengan memungut 30 mata iaitu kurang satu mata berbanding Perak di tangga kedua selepas 17 perlawanan.