PENYANDANG juara, Kedah meranapkan harapan Kelantan untuk mencipta kejutan pada saingan akhir peringkat Kumpulan C Piala Malaysia 2017 apabila tewas 2-0 di Stadium Darul Aman semalam.

Kedua-dua pasukan membuka perlawanan dengan rentak tempo perlahan selepas lebih sebulan saingan Liga Malaysia berehat dan bola banyak berlegar di bahagian tengah padang.

Kelantan meningkatkan rentak mereka dan berjaya melakukan percubaan menerusi Morgaro Gomis namun berjaya dibaca penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Abdul Hamid. Bagaimanapun Kedah yang turun tanpa beberapa pemain utama terpaksa membuat pertukaran awal apabila mengeluarkan Hanif Dzahir pada minit ke-12 yang cedera dan membawa masuk Amirul Hisham Awang Kechik.

Situasi tersebut tidak mengganggu rentak Liridon Krasniqi yang berjaya mengelecek dua pertahanan lawan dan melakukan satu rembatan pada minit ke-15 namun tepat ke dakapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Ceh Mat.

The Red Warrior (TRW) terpaksa mengeluarkan Mohamad Ab Aziz akibat cedera dan menggantikan dengan Zairul Fitree Ishak selang dua minit kemudian.

Pada minit ke-21, Kedah hampir memecah kebuntuan menerusi Ken Ilso Larsen namun percubaannya ditepis Khairul Helmi selepas menerima hantaran Syazuan Hazani.

Bagaimanapun gol yang diburu menjelma untuk meletakkan Kedah di hadapan 1-0 hasil tendangan Sandro Da Silva selepas menerima hantaran Ken yang berjaya merampas bola selepas Khairul Fahmi gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pasukan tersebut.

Kelantan yang terdesak memburu kemenangan untuk layak ke peringkat suku akhir cuba bangkit memburu gol penyamaan namun setiap asakan berjaya dinafikan barisan pertahanan Kedah.

Separuh masa kedua bermula, tuan rumah meningkatkan asakan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-49 menerusi Syazwan Tajudin namun percubaannya terkena palang gol.

Selang empat minit kemudian, Kedah terus menggempur kubu pelawat dan berpeluang untuk menjarakkan jaringan namun tendangannya Ken yang hanya berdepan Khairul Fahmi terkena penjaga gol tersebut.

Pada minit ke-61, Liridon Krasniqi mencuba nasib untuk menambah jaringan menerusi sepakan percuma namun sepakannya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi.

Tuan rumah memberi nafas baharu ke dalam pasukan apabila mengeluarkan dua pemainnya, Syafiq Ahmad dan Syazuan dan membawa masuk Farhan Roslan dan Hidhir Idris.

Usaha itu berhasil apabila Kedah memperolehi gol kedua menerusi Ken yang merembat kencang bola untuk menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua pada minit ke-76.

Keputusan ini terus menyekat hajat Kelantan untuk melangkah jauh dalam kancah Piala Malaysia yang kurang menjadi dalam kempen ini pada musim ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) berpuas hati dengan prestasi ditampilkan pemain Perak walaupun tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
  • JUARA Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) meranapkan impian Perak untuk beraksi di final TM Piala Malaysia selepas membelasah pasukan itu 3-0 dalam separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.
  • PENYANDANG juara Piala Malaysia, Kedah hampir pasti mempertahankan gelaran itu apabila mara ke pentas final Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Felda United 2-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, malam ini.
  • PENYERANG import Johor Darul Ta'zim (JDT), Gabriel Guerra berkata, Harimau Selatan perlu mengelak melakukan sebarang kesilapan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Perak di Stadium Larkin, malam ini.
  • PENDAHULU Kumpulan A Zon Utara Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/2018, Langkawi tidak mahu mendabik dada biarpun mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut pada pusingan pertama peringkat kumpulan untuk mengumpul 9 mata keseluruhan setakat ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.