KEDAH meletakkan sasaran untuk menewaskan pasukan tuan rumah, Madura United pada perlawanan akhir Kejohanan Piala Super Suramadu di Stadium Gelora Bangkalan, Indonesia.

Pasukan kendalian Ramon Marcote itu kini berada di tangga kedua di belakang Madura United selepas seri 2-2 dengan Persela selain mengikat Persijaya Jakarta 1-1 kelmarin.

Jika berjaya menjinakkan kelab Indonesia itu, Hijau Kuning bakal dinobatkan sebagai juara namun sebelum itu perlu berdepan corak taktikal lawan yang agresif selain pantas di dalam membuat serangan balas.

Marcote melahirkan keyakinan satu keputusan positif mampu diraih pada perlawanan akhir itu berdasarkan prestasi semasa semua pemain tempatannya termasuk import yang semakin serasi dengan pasukan itu.

"Kami mahu menang perlawanan akhir selain sasaran untuk muncul juara pada kejohanan ini. Kami yakin untuk menang pada perlawanan akhir bertemu tuan rumah dan kami akan berusaha ke arah itu.

“Walaupun Madura United sebuah pasukan hebat kerana mempunyai corak pertahanan dan serangan balas pantas baik, namun kami bersedia dan akan kekalkan corak permainan kami seperti biasa," katanya pada sidang media menerusi siaran langsung Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) selepas tamat perlawanan kedua bertemu Persijaya Jakarta.

Marcote berkata, tiada rahsia yang disembunyikan oleh Kedah apabila berjaya meningkatkan corak permainan lebih berkualiti pada perlawanan kedua berbanding aksi pertama.

Jelasnya, pemain hanya memerlukan rehat yang cukup selepas penat berdepan Persela.