KEDAH diberikan tentangan sengit oleh Pahang terutamanya pada separuh masa pertama sebelum mencatatkan kemenangan 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Pengendalinya, Mohd Nidzam Adzha Yusof berkata, beliau mengakui pemain sukar untuk menembusi benteng pertahanan Tok Gajah yang dibarisi ramai pemain berpengalaman dan berkualiti.

Menurutnya, walaupun masih gagal mendapat penyerang baharu iaitu Paulo Rangel yang berada pada fasa akhir untuk diikat oleh Lang Merah, Kedah masih mampu menjaringkan gol menerusi Baddrol Bakhtiar dan Liridon Krasniqi.

“Separuh masa pertama agak perlahan mungkin perlawanan pertama bulan puasa namun pemain berjaya meningkatkan momentum pada separuh masa kedua selepas kemasukan Akhyar Rashid yang mempunyai larian deras.

“Perlawanan memang agak sukar tetapi disiplin yang dipamerkan selain mengikut arahan dan bertahan dengan baik membuatkan Kedah berjaya meraih tiga mata,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan bertemu Selangor pada Sabtu ini di Selayang, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan Rangel sekiranya semua urusan menandatangani kontrak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Bertemu Selangor, jika Rangel sempat didaftarkan, beliau akan bergandingan bersama Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi di barisan hadapan,” katanya.