• Mohamed Hanipah menunjukkan surat panggilan temu duga yang lewat sampai kepada anaknya. Mohamed Hanipah menunjukkan surat panggilan temu duga yang lewat sampai kepada anaknya.
1 /

LANCHANG – Seorang penuntut lepasan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) kecewa selepas gagal menghadiri temu duga jawatan dalam perkhidmatan awam setelah surat panggilan diterima lewat seminggu dari tarikh temu duga.

Nur Athira Mohamed Hanipah 22, berkata, dia sepatutnya perlu hadir temu duga jawatan Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 di Pusat Temu duga SPA Kuantan pada 2 Mei lalu.

Apa yang mengecewakan katanya, dia hanya menerima surat panggilan temu duga seminggu selepas tarikh tersebut iaitu pada 9 Mei lalu.

“Akibat lambat terima surat, saya gagal menghadiri temu duga tersebut,” katanya sewaktu ditemui di sini semalam.

Nur Athira berkata, surat panggilan temu duga tersebut adalah yang pertama untuknya selepas beberapa kali membuat permohonan melalui SPA 8 sejak setahun lalu.

Sementara itu, bapanya, Mohamed Hanipah Tan berkata, dia merujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengenai kelewatan surat tersebut tetapi dimaklumkan SPA menghantar surat tersebut pada tarikh dicetak pada 26 April lalu.

Menurutnya, SPA mengepos surat tersebut kira-kira seminggu sebelum tarikh temu duga dan masalah yang berlaku mungkin bukan atas kelewatan pihak SPA.

Sehubungan itu, Mohamed Hanipah menggesa siasatan dilakukan bagi mengelakkan berlaku lebih banyak masalah kelewatan surat penting kepada penerima.

“Masalah yang berlaku ini bukan dalam kawasan pedalaman sebaliknya dalam kawasan perumahan Lanchang Permai yang dekat dengan bandar Lanchang.

“Saya tidak pasti apa masalah sebenarnya, tapi harap pihak berkenaan selesaikan masalah ini segera kerana bimbang surat penting lain tidak sampai kepada penerimanya,” katanya.