$entry.content.caption.value
DUA pelumba elit negara, Josiah Ng dan Fatehah Mustapa menampilkan kayuhan bertenaga apabila menyambar pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Cheras, semalam.
Fatehah terlebih dahulu menggamatkan velodrom yang dibanjiri peminat tempatan apabila mengetepikan beberapa pelumba pilihan khususnya pemenang emas acara pecut, Lee Wai Sze yang hanya mampu memungut gangsa manakala pingat perak dimenangi pelumba China, Xu Yulei.
“Syukur alhamdulillah kerana akhirnya saya dapat meraih emas acara keirin pada ACC. Saya sendiri seperti tidak menyangka mampu meraih emas kerana saingan dalam final ini cukup sengit.
“Sebelum turun bersaing, jurulatih (John Beasley) ada memberi tunjuk ajar dan ternyata setiap percaturan yang dibuat menjadi,” katanya yang memenangi pingat gangsa bagi acara 500 meter ujian masa individu sebelum ini.
Kegembiraan peminat tempatan terus memuncak apabila Josiah menyumbangkan pingat emas acara keirin lelaki elit diikuti pelumba sensasi negara, Mohd Azizulhasni Awang, perak sementara gangsa diraih pelumba Jepun, Kazunari Watanabe.
“Saya tidak ada tekanan untuk memburu pingat emas dalam acara ini. Sejak dari pusingan pertama yang berlangsung semalam (kelmarin), saya hanya fokus dengan kayuhan sahaja,” katanya.
Sementara itu, tetap berpuas hati meskipun hanya muncul naib juara, Azizulhasni melihat kejayaan tersebut akan terus membakar semangatnya untuk beraksi pada Sukan Olimpik di London, Jun depan.
Terdahulu, Ummi Hamimah Mohamad berjaya menyumbang pingat perak dalam acara keirin wanita junior. Emas acara tersebut dimenangi pelumba Korea Selatan, Kim Sola, sementara rakan senegara Sola, Oh Hyeon Ji meraih gangsa.
Bagaimanapun, rakan sepelatih Ummi Hamimah, Mohd Fauzan Nor Azman dan Malek Marcus Mccrone yang turut layak ke pentas final, gagal meraih sebarang pingat dalam acara keirin lelaki junior.
Hasil kutipan dua pingat emas dan satu perak semalam, skuad trek negara mengakhiri cabaran pada ACC 2012 dengan tiga emas, enam perak dan enam gangsa.






