POLIS akan memperketatkan kawalan keselamatan pada aksi suku akhir kedua Piala FA Negeri Sembilan menentang Sabah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini, lapor KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lebih 100 anggota termasuk pegawai dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertugas malam berkenaan.

“Penonton tidak perlu risau sebab anggota kita berada di sekeliling (stadium). Tiada peluang untuk berlaku apa-apa (insiden tidak diingini). 

“Kita juga sedar, kehadiran penyokong semakin lama semakin ramai. Jadi, kita akan menambah kekuatan dari segi rondaan terutama di kawasan meletak kenderaan.

“Cuma nasihat kita kepada mereka yang meletak kenderaan, jangan sampai mengganggu laluan masuk dan keluar stadium serta penduduk setempat.

“Barang berharga jangan ditinggal dalam kenderaan. Perbuatan sebegitu boleh mengundang risiko kecurian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Santai Bersama Ketua Polis Daerah Seremban anjuran Jawatankuasa Permuafakatan KRT Zon IV Daerah Seremban di Balai Raya KRT Temiang Jaya di sini, kelmarin.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.