KASMA Daniel Kasmayuddin semakin menunjukkan keserasian bersama jentera YZF-R6 apabila muncul pelumba keempat terpantas dalam sesi kelayakan SuperSports 600cc padaa Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Litar The Bend Motorsport Park, Australia, hari ini.

Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia itu mencatat masa terbaik 1’56.736s, hanya 0.145s di belakang pelumba terpantas, Yuki Ito (Yamaha Racing Team Asean) yang mencatatkan 1’56.591s.

Pelumba gantian, Joseph Francis (WeBike Ikazuchi Racing) bakal bermula dari petak kedua setelah mencatat masa kedua terpantas, 1’56.690s diikuti Taiga Hada (Idemitsu Honda Racing India by T.Pro Ten10) ketiga, 1’56.710s.

Catatan Kasma juga menyaksikan dia muncul pelumba terpantas negara mengatasi rakan sepasukan, Mohd Ramdan Rosli yang akan memulakan perlumbaan dari petak ke-10 dengan masa 1’57.459s, manakala juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) kelihatan bergelut untuk mendapat rentak terbaik apabila terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-11 dengan catatan masa 1’57.509s.

“Berbanding sewaktu pusingan pertama di Thailand, saya semakin memahami karakter jentera saya terutama dari segi suspensi dan penggunaan tayar yang banyak membantu saya di sini.

“Bentuk litar ‘fasttrack’ juga memberi sedikit kelebihan kerana saya sukakan litar seperti ini. Saya berharap dapat mencatat keputusan terbaik dalam perlumbaan akhir nanti," katanya.

Sementara itu, dalam saingan Asia Production 250cc, trio Astra Honda Racing Team, Rheza Danica Ahrens, Mario Suryo Aji dan Awhin Sanjaya menguasai barisan hadapan dengan Rheza bakal bermula dari petak pertama setelah mencatatkan masa terbaik 2’08.039s diikuti Mario di petak kedua dengan masa 2’08.561s dan Awhin di petak ketiga dengan masa 2:08.773s.

Pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team) terus mempamerkan aksi konsisten apabila bakal memulakan perlumbaan dari petak pertama setelah mencatat masa terpantas ketika sesi kelayakan Superpole dengan masa 2’18.857s diikuti pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) kedua, 2:19.281s dan Md Haziq Md FAIRUES (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team) ketiga, 2:19.643s.

Perlumbaan 1 akan berlangsung esok manakala Perlumbaan 2 akan berlangsung keesokan harinya.