WAKIL Perlis pada saingan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Kebangsaan 2016/2017, Kangar mengesahkan satu slot suku akhir menjadi milik mereka selepas menewaskan Rembau 2-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, kelmarin bagi saingan peringkat Kumpulan A.

Biarpun berbaki satu lagi perlawanan peringkat kumpulan, sebarang keputusan tidak lagi menjejaskan kedudukan Paya Besar dari Pahang sebagai pendahulu dengan 10 mata manakala Kangar di tangga kedua dengan 9 mata.

Dua lagi pasukan iaitu Rembau (5 mata) dan Bera (4 mata) gagal mencabar dua pasukan teratas biarpun mereka mencatatkan kemenangan pada perlawanan akhir kumpulan 19 Mac ini.

Menurut Pengurus Kangar, Noor Shahril Bakar, pencapaian menang tiga dan tewas dua perlawanan di peringkat kumpulan akan diperbaiki oleh pihaknya apabila cabaran kini semakin sengit selepas membabitkan lapan pasukan terbaik dari seluruh negara. 

"Alhamdullillah, pemain telah menunjukkan semangat juang dan disiplin mengikut arahan jurulatih yang diberikan sepanjang perlawanan berlansung. Kekuatan mental menghadapi permainan keras Rembau juga menjadi kunci kemenangan pada perlawanan kelima ini.

Kemenangan ini bermakna KSMR (Kangar) telah melayakkan diri ke peringkat suku akhir LBR 2016/2017 bersama-sama Paya Besar dari kumpulan A dan tahniah buat semua pemain kerana mereka sememangnya layak untuk beraksi di peringkat seterusnya," katanya kepada Sinar Harian.

Noor Shahril berkata, Kangar mampu merampas kedudukan pendahulu kumpulan dari Paya Besar apabila kedua-dua pasukan terbaik ini bertembung pada perlawanan akhir kumpulan di Kuantan.

Bagaimanapun jelasnya, ia bukan mudah apabila beraksi di laman lawan namun sekiranya kemenangan dapat dicapai ia mampu meningkatkan keyakinan pemain-pemainnya untuk meneruskan momentum terbaik di peringkat suku akhir pula.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.