PENGENDALI Mifa, K Devan mengakui ralat dengan kekalahan 0-3 pasukannya di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Shah Alam malam tadi yang menyaksikan perjalanan pasukannya terhenti dalam saingan Piala Malaysia tahun ini.

Devan berkata, kekecewaan itu sukar dibendung apatah lagi bila mendapat perkhabaran Kelantan berjaya menang 2-0 di Kota Bharu hasil jaringan di masa kecederaan.

"Saya kecewa..Kalaulah kita hanya tewas 0-2 alam ini mungkin kita boleh layak ke suku akhir. Tetapi apa pun, tahniah diucapkan kepada JDT dan Kelantan yang berjaya mara ke suku akhir," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Mengulas aksi anak buahnya di Shah Alam, Devan mengakui persembahan kurang bertenaga dipamerkan pemainnya berbanding pertemuan pertama dengan JDT di Larkin sebelum ini.

Jelasnya, ini mungkin berpunca daripada ketiadaan dua tonggak importnya, Elizeu Melo dan Kpah Sherman yang digantung perlawanan pada aksi terakhir yang sangat penting ini.

"Saya akui rata-rata pemain kami kurang pengalaman. Jadi, kami perlukan khidmat pemain import untuk beri 'balance' dalam pasukan.

"Jadi bila tiada pemain import ini memang nampak ada jurang perbezaan ketara di antara kedua-dua pasukan dan kita tidak dapat tandingi kehebatan JDT," katanya lagi.