PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menilai semula mutu pengadilan melibatkan pertemuan Kelantan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Rabu lalu.

Naib Presidennya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, Jawatankuasa Pengadil yang dipengerusikan Subkhiddin Mohd Salleh harus mengkaji prestasi pengadil, Mohd Nazmi Nasaruddin yang mengadili perlawanan tersebut.

“Menang kalah itu perkara biasa dalam bola sepak, malah sebelum ini pun Kelantan bukannya tidak pernah kalah. Baru-baru ini, kita tewas kepada Pahang dan terbaru kepada JDT dan kita boleh terima kekalahan tersebut.

“Cuma yang dipersoalkan adalah mutu pengadilan. Bagaimana begitu teruknya pengadil menjalankan tugas pada perlawanan tersebut?" soalnya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Pada pertemuan itu, JDT menewaskan Kelantan 3-2 dengan sepakan penalti Gabriel Guerra menghasilkan gol kedua pada minit ke-29 sekali gus menimbulkan suasana tegang apabila penyokong tuan rumah kurang senang dengan keputusan Mohd Nazmi yang dianggap berat sebelah.

Keputusan pengadil asal dari Pulau Pinang itu, membawa kepada bantahan di luar stadium sejurus tamat perlawanan melibatkan seramai 200 penyokong TRW.

Menurutnya, apa yang disuarakan Kafa bukan bermaksud mencari alasan di sebalik kekalahan tersebut tetapi lebih menjurus kepada satu bentuk peringatan bagi memastikan setiap perlawanan diadili secara saksama dan telus pada masa akan datang.

“Kita setuju, malah seiring hasrat Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang mahu memperbaiki dan memantapkan lagi mutu pengadilan bola sepak negara.

“Jadi, kita berharap jawatankuasa berkenaan memandang serius isu pengadilan ketika ini dan meminta mereka melihat semula corak pengadilan perlawanan Kelantan dan JDT itu,” katanya.

Dalam masa sama, Muhammad Nasir mengucapkan jutaan terima kasih kepada FAM yang amat prihatin terhadap mutu pengadilan dan melakukan pembaharuan dengan menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) untuk setiap perlawanan musim hadapan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh duduk bersama mulai tular selepas dimuat naik dalam laman Facebook Johor Southern Tigers semalam.
  • PENGENDALI Kelantan, Zahasmi Ismail menganggap pasukannya tidak bernasib baik selepas tewas 0-1 kepada Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Selayang, kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.